Laporan & Foto Oleh : Noor Hidayah Binti Mohd Izam

BATU PAHAT, 18 Nov (Udabayas) – Lebih 1000 orang warga sekitar Parit Raja, Batu Pahat telah menghadiri Karnival Agro Usahawan Belia Nanas Komersial yang diadakan di Dataran Kg Parit Haji Ali, Parit Raja, Batu Pahat, Johor.Karnival ini berjalan selama 4 hari iaitu bermula pada 16 November dan berakhir pada hari ini, 19 November. Karnival ini diadakan sempena Sambutan 60 Tahun Lembaga Perindustrian Nanas Malaysia dan juga Sambutan 100 Tahun Kg Parit Haji Ali. Antara yang menarik di karnival ini adalah acara Tahlil Perdana, Sambutan 100 Tahun Parit Haji Ali, Pertandingan Masakan dan Gubahan, Pertandingan Karaoke, Street Cub, Tamiya Challenge, Pertandingan Mewarna, Futsal, Pineapple Funride, Sukaneka, Forum Perdana, Pertandingan Memancing, Pameran Kucing dan Malam Kebudayaan.

 

Acara kemuncak adalah pada 18 November iaitu acara Pineapple Funride yang merupakan ekplorasi berbasikal di sekitar ladang Nanas yang disertai oleh lebih 300 orang warga tempatan dan juga majlis perasmian karnival tersebut yang disempurnakan oleh Datuk Haji Samsolbari Bin Haji Jamali, ADUN Semarang merangkap Pengerusi Lembaga Perindustrian Nanas Malaysia. Dalam ucapannya beliau mengucapkan tahniah kepada warga Kg Parit Haji Ali kerana berjaya menjadikan tanaman Nanas sebagai sumber pendapatan yang merupakan hasil kekayaan baru negara. Beliau turut mengucapkan tahniah atas sambutan 100 tahun usia pembukaan Kg Parit Haji Ali. Beliau turut menekankan betapa pentingnya sifat permuafakatan dalam merancang dan mengurus tadbir organisasi kampung dan pembangunan dalam mencapai kemajuan bagi menyediakan kehidupan yang lebih baik untuk generasi akan datang.

Beliau juga menyatakan para usahawan Nanas perlu melakukan yang terbaik bagi menghasilkan tanaman nanas yang terbaik agar kerajaan Malaysia dapat memenuhi permintaan eksport Nanas MB2 yang mendapat sambutan baik dari negara China iaitu sebanyak 2 kontena seminggu. Pihak kerajaan juga akan terus mendapatkan lebih banyak pasaran antarabangsa pada masa akan datang dan berhajat untuk meluaskan lagi tanaman Nanas yang mempunyai 13184 hektar di seluruh Malaysia. Sebanyak 8934 hektar berada di negeri Johor dan sebanyak 1560 hektar berada di daerah Batu Pahat.

Yatimah Latif, 68 menyatakan amat seronok kerana tidak sangka dapat memenangi cabutan bertuah di majlis perasmian ini. Dia hadir bersama cucunya yang mahu melihat jualan dan pameran yang diadakan pada hari tersebut dan melihat benih nenas yang terbaru. Adilah Osman, 18 berkata dia hadir ke karnival ini bagi menyertai ekplorasi berbasikal Pineapple Funride. Selain dari melayan hobinya yang gemar berbasikal dia dapat melihat ladang Nanas dan dapat menyokong acara-acara yang diadakan di kampung kelahirannya.