Laporan / Foto: Mohd Zaid Awang (Gombak)

RAWANG, 3 Jan (Udabayas) – Lebih 1,000 peminat sukan berbasikal terdiri daripada pelbagai kaum menyertai Fun Ride Jelajah Dewan Undangan Negeri (DUN) Kuang di Puteri Central Park (PCP), Bandar Tasik Puteri, di sini semalam.

Ketua Sekretariat DUN Kuang, Datuk Azman Yaakob berkata, aktiviti berbasikal merupakan hobi yang semakin diminati di negara ini kerana ia menyihatkan badan.

Menurut beliau, program tersebut yang julung kali dianjurkan itu bertujuan mengeratkan silaturahim dan mengukuhkan perpaduan kaum antara masyarakat sekitar DUN Kuang.

Peserta Fun Ride Jelajah DUN Kuang memulakan kayuhan sejauh 30 kilometer.

“Semangat perpaduan yang ditunjukkan antara kaum Melayu, Cina dan India dalam program ini sangat baik dan ia memberi petanda bahawa semangat itu masih utuh di negara ini.

“Perpaduan merupakan elemen penting untuk diterapkan dalam diri kita dan ianya perlu dizahirkan seperti dalam program ini untuk memberi harapan baru bagi Malaysia Baharu,” katanya.

Kayuhan peserta sejauh 30 kilometer bermula seawal 8 pagi di Bandar Tasik Puteri (BTP), menjelajah kawasan-kawasan sekitar DUN Kuang seperti Bandar Baru Kundang, Kuang, Kampung Gombak, Kampung Setia, Tasik Biru dan kembali ke BTP.

Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kuang, Sallehudin Amirudin menyempurnakan acara pelepasan peserta yang turut dihadiri Timbalan Yang Di Pertua Majlis Perbandaran Selayang (MPS), Datuk Dr Johari Ahmad.

Program tersebut diadakan sempena karnival Inisiatif Peduli Rakyat (IPR) selama dua hari selain aktiviti-aktiviti lain seperti gerai jualan, forum perdana, cabutan bertuah, penyampaian sumbangan dan senamrobik.

-NAZ