Laporan: Adelaidah A. / Foto: Municca K.

LAHAD DATU, 12 Sep (Udabayas) – Program gegar 10 ribu langkah merdeka peringkat Daerah Lahad Datu mengajak rakyat menghayati erti kemerdekaan dengan diri segar sihat.

Program yang mengekalkan perjalanan sejauh 4.6 km dapat menyemai amalan sihat di samping menghargai kesihatan diri untuk memastikan kemerdekaan yang dikecapi dapat disambut dengan ceria oleh warga daerah berkenaan.

Peserta yang juga merupakan Pegawai Penerangan (Pendidikan Kesihatan) di Pejabat Kesihatan Kawasan Lahad Datu, Mohammad Fauzi Matli, berkata terdapat peningkatan dalam penyertaan terhadap program ini.

Pegawai Penerangan (Pendidikan Kesihatan) di Pejabat Kesihatan Kawasan Lahad Datu, Mohammad Fauzi Matli.

“Tahun lalu seramai 3,263 orang menyertai, manakala tahun ini menyaksikan peningkatan kepada 3,655 orang peserta.

Jelasnya, kesemua jumlah penyertaan di seluruh negara akan dicatatkan setiap tahun bagi memperbaharu rekod dalam Malaysia Book Of Record.

Tambahnya, pada 2016, penyertaan program ini di daerah Lahad Datu merupakan penyertaan teramai berbanding lokasi pelaksanaan yang lain di seluruh Malaysia.

“Diharap penyertaan tahun ini akan mengekalkan rekod tersebut dan yang lebih utama diharap impak pelaksanaan program ini mampu dihayati seterusnya menjadi amalan masyarakat untuk kekal menjaga kesihatan diri,” ujarnya.

Aktiviti berjalan kaki bukan sahaja suatu senaman yang mudah, murah dan tidak sulit dilakukan, malah banyak memberi manfaat termasuk membantu mengurangkan risiko penyakit jantung, merendahkan paras kolestrol, mengurangkan risiko penyakit diabetis, mengawal berat badan, mengurangkan stres serta mampu mengekalkan kekuatan otot dan mengurangkan risiko osteoporosis.

Sementara itu, peserta yang juga merupakan seorang ahli St. John Ambulance, Ijan Yasin berasa sangat bangga menyertai program ini kerana dia bertemu ramai kawan dan masyarakat setempat.

“Terasa kemerdekaan ini perlu diisi dengan rasa diri yang sentiasa sihat kerana jika kita tidak sihat meriah macam mana pun sambutan bulan kebangsaan langsung tidak dirasai.

Menurutnya, kesihatan dan perpaduan kaum amat erat di daerah ini, dan kita sebagai masyarakat di negara ini harus mensyukuri nikmat kemerdekaan melalui perpaduan ini.

Dalam pada itu, penasihat serta Pegawai Turus St John Ambulance Lahad Datu, Sabaduddin Paruki berkata peluang membawa seramai 25 orang ahlinya menyertai program ini tidak dilepaskan begitu sahaja.

“Ini kerana belia harus sedar dan bangkit untuk menyahut cabaran kesihatan, tidak guna merdeka jika rakyat tidak sihat dan belia gagal memenuhi inspirasi negara.

“Sehubungan itu, saya membawa beberapa penyertaan ahli persatuan yang terdiri daripada pelajar Sekolah Menengah Kebangsaan Sepagaya, Sekolah Menengah St.Dominic dan Sekolah Menengah Kebangsaan Agaseh untuk turut serta menyertai program ini.

“Selain dapat memeriahkan acara belia dapat bangkit menyahut seruan untuk memahami dan menghayati seterusnya mempertahankan erti kemerdekaan yang dikecapi,” ujarnya.