Laporan/foto: Eviannie Kin Mei Hoon/Johnny Joklis (Kota Kinabalu)

KOTA KINABALU, 11 Feb (Malaysiaktif) – Lebih 30 ahli Persatuan Isteri Wakil-wakil Rakyat Dewan Undangan Negeri (PERWISA) menyertai Program Eksklusif Protokol dan Etiket Sosial selama dua hari bagi meningkatkan kefahaman tentang teori dan amalan protokol serta etiket sosial dalam urusan rasmi.

Yang Dipertua PERWISA, Datin Seri Shuryani Shuaib berkata, perkara tersebut penting diterapkan agar ahli-ahli PERWISA mempunyai amalan dan nilai sosial yang tinggi dan lebih beretika serta berkeyakinan semasa berada di majlis formal.

“Penganjuran program ini amat bertepatan sekali dan diharapkan dapat meningkatkan kefahaman peserta tentang keperluan dan pentingnya amalan protokol dan etiket sosial dalam majlis rasmi yang tentunya mencerminkan imej dan budaya kita.

Shuryani memotong reben sebagai gimik perasmian

“Amalan etika dan protokol yang baik juga akan mencerminkan profesionalisme dan memberi gambaran positif kepada masyarakat.

“Dengan adanya kemahiran dalam hal-ehwal protokol dan etiket sosial maka sudah tentu dapat mempersiapkan diri untuk melaksanakan tugas dan tanggungjawab agar tidak kekok dalam majlis-majlis rasmi dan sebagainya,” katanya semasa menyampaikan ucapan perasmian di sini, hari ini.

Shuryani semasa ucapan

Shuryani turut menyeru ahli-ahli PERWISA agar sentiasa kreatif melengkapkan diri dengan kemahiran semasa dan berinovasi dalam mencari peluang mendedahkan diri kepada perkara-perkara baharu serta agresif dalam mempelajari ilmu untuk mempertingkatkan kecemerlangan diri.

Hadir sama, Pengarah Institut Latihan Sektor Awam (INSAN), Serbini Jadin, Pengarah Istiadat dan Protokol Jabatan Ketua Menteri, Christopher Linggam dan Pengerusi Persatuan Suri dan Anggota Perkhidmatan Awam malaysia (PUSPANITA) Cawangan Sabah, Datin Seri A’zah Ismail.

EM