Laporan dan foto : Norazura A. L. / Nur Fariza F. (Melaka)

MELAKA, 10 Jan (UdaBayas) – Pusat Maklumat Rakyat (PMR) merupakan hab maklumat yang beroperasi di setiap Pejabat Penerangan Daerah. Antaranya berperanan sebagai titik fokus maklumat kepada masyarakat, bank data maklumat dan pusat rujukan orang awam, agensi-agensi kerajaan di lain-lain peringkat iaitu tempatan, negeri dan negara.

Menurut, Ketua PMR Pejabat Penerangan Daerah Melaka Tengah, Ismail Othman, 59, Pusat Maklumat Rakyat Pejabat Penerangan Daerah Melaka Tengah telah beroperasi sejak awal 60an dikenali sebagai Biro Penerangan.

Pengunjung boleh mendapatkan maklumat berkaitan dasar-dasar kerajaan di sini.

“Biro penerangan pada masa tersebut  beroperasi di Jalan Hang Tuah sebelum berpindah ke Tingkat 16, Menara Persekutuan, MITC Ayer Keroh. Ketika itu Jalan Hang Tuah merupakan pusat pentadbiran kerajaan negeri dan persekutuan namun telah berpindah sepenuhnya ke Menara Persekutuan pada tahun 2010,” ujar Ismail.

Petugas PMR, Kamil Maidin, 38, berkata kemudahan letak kenderaan awam dan kedudukan yang strategik diharap dapat meningkatkan jumlah pengunjung yang hadir.

“Disamping itu kemudahan jalur lebar yang disediakan secara percuma dapat membantu orang awam memanfaatkan dengan mengemaskini maklumat BR1M, memohon jawatan kosong, memohon kemasukan pelajar ke IPT, mencari maklumat dan sebagainya,” jelasnya lagi.

Seorang pengunjung, Nurnabila Mohd Ali , 28, berkata lokasi yang strategik ini memudahkan PMR untuk dikunjungi sementara menunggu urusan di jabatan lain.

“Saya ke sini disebabkan ada urusan di Jabatan Akauntan Negara. Untuk tidak membuang masa menunggu giliran yang terlalu lama, saya ke PMR untuk mendapatkan bahan dan risalah,” ujar Nurnabila.