Laporan dan Foto Oleh: M.Z Awe ( Selangor )

 

RAWANG, 27 Mac (Udabayas) – Seramai lebih 2,000 peserta bersaing dan menjayakan acara Half Marathon Rawang Bypass yang diadakan buat pertama kali, di sini.

Larian yang bermula 6 pagi di Jalan Setia, Batu 16 Rawang itu mempertandingkan lapan kategori untuk jarak 21 kilometer (km) dan 12 km bagi peringkat umur 16 tahun ke atas.

Siew Hoong Kong, 83 menjadi peserta paling tua menyertai Half Marathon Rawang Bypass.

Peserta paling tua, Siew Hoong Kong, 83, gembira kerana dapat menamatkan lariannya walaupun hanya sekadar berjalan kaki dalam masa dua jam.

“Ini merupakan kali kedua saya sertai larian marathon sepanjang hidup saya, kali pertama pada tahun 2000 iaitu Big Walk Malay Mail di Kuala Lumpur.”

“Sepanjang larian saya banyak menyanyi dan tidak hiraukan orang lain, yang penting saya ingin menjadi antara peserta yang berjaya menamatkan larian pada penganjuran julung kali ini,” katanya yang menyertai kategori Lelaki Veteran 12 km.

Terdapat dua lokasi yang mencabar sepanjang larian tapi saya seronok – Azwan Bunjing

Pemenang kategori Lelaki Terbuka 12 km, Azwan Bunjing, 29, berpuas hati dan seronok kerana memenangi tempat pertama, yang julung kali penganjurannya.

Beliau yang menamatkan larian dalam masa 44 minit 32 saat, banyak menyertai acara larian sejak di menuntut di universiti memaklumkan laluan Rawang Bypass antara yang mencabar pernah dirasainya.

“Terdapat dua lokasi agak mencabar di Rawang Bypass yang memerlukan kekuatan fizikal dan mental.

“Namun saya sangat seronok dan berpuas hati, terima kasih kepada pihak yang berjaya menganjurkan acara ini, semoga larian ini menjadi acara tahunan,” katanya yang berasal dari Sabah.

Chan Wun Hoong, Penyelaras BN Parlimen Selayang

Penyelaras Barisan Nasional (BN) Parlimen Selayang, Chan Wun Hoong, mengucapkan tahniah semua peserta larian kerana telah mencipta sejarah sebagai salah seorang yang pertama sebagai peserta Half Marathon Rawang Bypass.

“Anda semua adalah yang paling bertuah menjadi peserta marathon yang julung kali diadakan di laluan Rawang Bypass, jambatan yang tertinggi sekali di Malaysia yang dibina oleh kerajaan untuk kemudahan rakyat, lebih penting tiada bayaran tol,” jelasnya.

Tambah Chan, sekiranya BN dapat menawan parlimen Selayang pada pilihanraya umum nanti, beliau akan pastikan acara marathon akan diadakan setiap tahun dengan hadiah yang lebih lumayan.

Majlis perasmian disempurnakan oleh Setiausaha Politik Menteri Pengangkutan, Kang Meng Fuat. Turut hadir Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kuang, Datuk Abdul Shukur Idrus dan Koordinator Pembangunan Persekutuan DUN Taman Templer, Datuk Ir Md Nasir Ibrahim.