Laporan dan foto: Norsuriati Y.

SEREMBAN, 24 Jun (UdaBayas) – Menjadikan peribahasa Melayu, “hendak seribu daya, tak hendak seribu dalih”, sebagai pegangan hidup, pengusaha lemang tradisi Negeri Sembilan, Norhafiza Jamal, 32, terus mengorak langkah untuk menjayakan perniagaan keluarganya itu.

Mengimbau kembali ketika memulakan peniagaan, pengusaha lemang itu yang ditemui di Kampung Kayu Ara baru-baru ini berkata dia memulakan perniagaan pada 2010 yang hanya sekadar suka-suka dan akhirnya menjadi satu sumber pendapatan kepadanya sekeluarga.

Penyediaan buluh yang digunakan untuk membuat lemang

“Dengan modal permulaan sebanyak RM300 untuk penyediaan 50 batang lemang sehari, kini jumlah tersebut telah bertambah sehingga 200 batang sehari.

“Lebih menyeronokkan semestinya pada musim perayaan kerana pada masa ini sambutannya lebih menggalakkan,” jelasnya yang menggunakan resipi neneknya dalam pembuatan lemang yang menjadi kegemaran ramai ini.

Dengan keuntungan yang memberangsangkan selain musim perayaan Aidilfitri, Norhafizah yang kini membuka sebuah lagi gerai lemangnya di Taman Paroi Jaya tidak menafikan pelbagai cabaran terpaksa ditempuhinya.

“Cabaran sentiasa ada dalam perniagaan lebih-lebih lagi apabila bekalan kelapa berkurangan untuk menampung tempahan lemang terutama ketika musim perayaan.

“Ada satu ketika, kami terpaksa membeli kelapa dengan harga yang tinggi bagi memastikan bekalan lemang mencukupi untuk keperluan pelanggan,” katanya yang menjual lemang dengan harga RM12 sebatang.

Isi lemang yang berlemak ini menjadi kegemaran ramai

Sementara itu, pelanggan tetap yang ditemui Norazimah Saad, 35, berkata dia sering menempah lemang untuk keluarganya terutama pada musim perayaan.

“Lemang yang disediakan oleh
Norhafizah antara yang terbaik kerana lemangnya lemak dan sedap serta harganya juga berpatutan. Ini hidangan wajib kami setiap kali beraya,” ujarnya.