Laporan/Foto: Hamisah Sumar (Johor Bahru)

JOHOR BAHRU, 11 Nov (UdaBayas) – Seramai 200 kanak-kanak dari Tadika Ummiku Sayang dan Rangkaian Tadika As-Sofea daerah Johor Bahru telah menyertai Hari Konvokesyen dan Aprisiasi Bakat 2018. Majlis tersebut telah dirasmikan oleh Muhammad bin Aziz, Penyelia Pendidikan Swasta, Pendidikan Khas dan Pemulihan, Pejabat Pendidikan Daerah Johor Bahru.

Pengetua Tadika Ummiku Sayang dan Rangkaian Tadika As-Sofea, Maalim Mamat berkata, majlis tersebut merupakan acara tahunan melibatkan kanak-kanak seawal usia lima dan enam tahun yang mengikuti pendidikan awal di Tadika Ummiku Sayang dan Rangkaian Tadika As-Sofea bertujuan mencungkil bakat dan  keyakinan dalam kalangan kanak-kanak.

“Selain itu, objektif utamanya adalah untuk memupuk nilai-nilai murni, kecergasan fizikal, mengembangkan minat, kreativiti dan nilai-nilai estetika kanak-kanak serta menghargai warisan budaya selaras dengan Kurikulum Standard Prasekolah Kebangsaan,” katanya ketika berucap pada majlis tersebut baru-baru ini.

Antara murid-murid yang menerima sijil masing-masing pada Majlis Konvokesyen dan Aprisiasi Bakat 2018 Anjuran Tadika Ummiku Sayang dan Rangkaian Tadika As-Sofea

Penyelia Pendidikan Swasta, Pendidikan Khas dan Pemulihan, Pejabat Pendidikan Daerah Johor Bahru, Muhammad bin Aziz, ketika merasmikan majlis tersebut berkata, majlis seumpama ini amat penting diadakan bagi merapatkan lagi hubungan antara pengetua dan semua guru-guru tadika dengan komuniti luar amnya dan secara khususnya dengan ibu bapa murid.

“Tambahnya lagi, asas hubungan yang kukuh antara pihak tadika dengan ibu bapa amat membantu dalam melonjakkan lagi prestasi anak-anak dan seterusnya melahirkan individu-individu yang cemerlang, gemilang dan terbilang. Sikap cakna ibu bapa terhadap pembelajaran anak-anak perlu disanjung tinggi.”

“Di samping itu, kejayaan seseorang murid tidak hanya terletak di bahu guru semata-mata. Guru-guru hanya memberi ilmu pengetahuan dan murid-murid bersedia menerima apa yang disampaikan. Apa yang diterima oleh murid akan hilang jika tidak diulangkaji dan diasah. Di sini letaknya peranan ibu bapa yang perlu bertindak sebagai pendorong, menggalakkan anak-anak belajar, mengulangkaji pelajaran atau menyiapkan kerja rumah. Jangan terlalu mengikut kehendak anak-anak, terlalu memanjakan mereka kerana sikap begini akan merugikan ibu bapa pada masa akan datang. Kehadiran ke sekolah juga amat penting.”

Persembahan tarian oleh kanak-kanak Tadika As-Sofea Bandar Baru Uda, Johor Bahru

“Dalam proses mencapai kejayaan, penguasaan membaca, menulis dan mengira amat penting bagi setiap murid. Penguasaan ketiga-tiga kemahiran asas ini sebenarnya membantu mereka menguasai mata pelajaran yang lain. Ibu bapa perlu tahu akan peri pentingnya pendidikan dalam mengubah nasib anak-anak pada masa akan datang. Pendidikan memainkan peranan penting untuk mencapai hidup yang berkualiti. Pendidikan yang baik adalah modal yang paling mahal dalam mengubah nasib pada masa akan datang demi kesejahteraan dan kebahagiaan hidup.”

“Apa yang kita semai pada hari ini, hasilnya akan dituai pada masa akan datang. Pada hari ini, kita semai benih ilmu dalam diri anak-anak. Pada hari kemudian, kita tuai hasil itu dengan kebahagiaan dan kesenangan,” katanya ketika merasmikan Majlis konvokesyen dan Aprisiasi Bakat 2018 Anjuran Tadika Ummiku Sayang dan Rangkaian Tadika As-Sofea Daerah Johor Bahru yang diadakan di Hotel M-Suite, Johor Bahru.

Dalam majlis tersebut seramai 200 murid-murid dari Tadika Ummiku Sayang dan Rangkaian Tadika As-Sofea Daerah Johor Bahru telah menerima sijil penghargaan masing-masing.

EM