Laporan/foto: Hamisah Sumar/Musliha Yusof (Johor Bahru)

JOHOR BAHRU, 30 April (Malaysiaaktif) – Sempena menyambut kedatangan bulan Ramadan, Jabatan Penerangan Malaysia, negeri Johor menganjurkan Majlis Bacaan Surah Yassin, Tahlil Dan Doa baru-baru ini.

Menurut Pengarah Penerangan Negeri Johor, Zainudin Ismail, majlis bertujuan merapatkan hubungan silaturrahim sesama anggota jabatan, di samping menghadiahkan doa-doa kepada seluruh umat Islam yang telah meninggal dunia.

Sebahagian pegawai JaPen Johor yang menyertai Majlis Tahlil

“Melalui majlis seperti ini, kita juga dapat mengukuhkan ikatan persaudaraan sesama anggota jabatan. Malah agama Islam juga telah meletakkan dasar-dasar praktis dan cara yang positif dalam usaha memperkukuhkan ikatan kasih sayang dan mengeratkan ukhuwah ini,” katanya ketika berucap pada majlis berkenaan di Surau Ibu Pejabat Penerangan Negeri Johor

“Jika semua anggota Jabatan berpegang teguh, nescaya persaudaraan itu akan semakin mengukuh umpama dalam satu binaan yang saling menguatkan antara satu sama lain secara harmoni dan mesra, walaupun dirintangi pelbagai cabaran.”

Majlis Bacaan Yaasin dan Tahlil akan mewujudkan ikatan silaturrahim

Selain itu, beliau juga menegaskan ikatan silaturrahim antara anggota jabatan tidak boleh dicapai jika ada kebencian, hasad dengki dan permusuhan sesama anggota.

“Ada pun sifat kasih sayang, akhlak yang baik, bertoleransi dan bersangka baik sesama anggota jabatan itu adalah jaminan dalam melahirkan umat yang baik dan masyarakat yang stabil serta negara yang aman makmur” tambahnya.

 

EM