Laporan/foto: Md Khairul Azad Yunus/Jeffrey Nian (Labuan)

LABUAN, 3 Dis (UdaBayas) – Malam Penutupan Pesta Tamu Gadang Universiti Malaysia Sabah, Kampus Antarabangsa Labuan (UMSKAL) 2018 berlangsung dengan meriah dan penuh warna warni.

Pesta Tamu Gadang UMSKAL yang bermula 30 November lalu berakhir semalam di Dewan Utama, UMSKAL dengan pelbagai pengisian menarik serta menghiburkan kira-kira 1000 penonton yang hadir.

Persembahan Festival Of Light UMSKAL ‘menggegar’ dewan Utama UMSKAL

Para penonton yang hadir pada malam itu disajikan dengan pelbagai acara hiburan antaranya persembahan mantap lima finalis Pertandingan UMSKAL Talent Night yang membuat persembahan lakonan, nyanyian, tarian dan persembahan bermain dengan api.

Kemeriahan malam itu tidak terhenti di situ apabila sekumpulan tidak kurang 30 orang penari yang digelar Festival Of Light UMSKAL menggegarkan dewan dengan persembahan tarian yang tidak ubah seperti babak dalam filem Tamil. Persembahan mereka yang mendapat  tepukan gemuruh penonton disahut pula oleh persembahan memukau kumpulan penari Taming Mas UMSKAL dengan membawa tarian tradisi suku kaum Bugis.

Haqiem Rusli (kanan) secara santai berduet bersama pelajar UMSKAL

Malam gemilang Penutupan Pesta Tamu Gadang UMSKAL itu dilengkapi dengan kemunculan dua artis jemputan iaitu Syafiq Farhain dan Haqiem Rusli yang masing-masing mendendangkan empat buah lagu. Persembahan vokal yang mantap dari mereka nyata memukau hadirin yang turut serta menyanyi bersama di sepanjang lagu.

Pesta Tamu Gadang UMSKAL merupakan acara tahunan dan bagi tahun ini dipenuhi pelbagai program sampingan lain antaranya Cyber Game Challenge, Bengkel dan Pertandingan Catur, Pameran Perubatan Tradisional, Kids Got Talent, Futsal Terbuka Lelaki, Karaoke Santai, Graduate Run UMSKAL, Combat Sport Demo, Bengkel Tari, UMSKAL Cooking Challenge dan gerai jualan makanan serta barangan.

Prof Dr. Murnizam (tiga dari kanan) bergambar kenangan bersama semua finalis UMSKAL Talent Night

Perasmian Majlis Penutupan dan penyampaian hadiah kepada pemenang Pertandingan UMSKAL Talent Night disempurnakan oleh Pengarah UMSKAL, Prof Dr. Murnizam Halik. Hadir sama Timbalan Pengarah Kampus UMSKAL, Prof Madya Dr. Geoffrey Harvey Tanakinjal, Timbalan Dekan Akademik dan Antarabangsa Fakulti Kewangan Antarabangsa Labuan, Prof Madya Dr. Lee Hock Ann, Timbalan Pendaftar Kanan UMSKAL, Zamri Mohamad Tuah dan Naib Presiden MPP UMSKAL, Fauzan Mirza Eko.

EM