Laporan/foto: M.Syafiq Razi/ M.Husni Mubarak (Padang Terap)

KUALA NERANG, 11 Feb (UdaBayas) – Tragedi lemas yang menimpa empat sekeluarga di Rumah Pam, Kampung Bukit Sena, Pedu, Khamis lalu mendapat perhatian wakil rakyat dan penduduk tempatan.

Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat, Pembasmi Kemiskinan dan Kebajikan Masyarakat Negeri Kedah merangkap Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Bukit Kayu Hitam, Halimaton Shaadiah Saad telah menziarahi salah seorang mangsa tragedi yang terselamat iaitu Anis Umairah Mohd Ismail, 14, di Hospital Kuala Nerang, kelmarin.

“Kita perlu memberi sokongan dan semangat kepada adik Hanis kerana beliau masih lemah dan bersedih dengan kejadian yang baharu sahaja menimpa keluarganya. Kerajaan negeri tidak akan sesekali mengabaikan kebajikan adik Hanis dan sentiasa bersedia membantu,” ujar Halimaton yang turut menyampaikan sumbangan.

Anis berasa amat bersyukur dan terkejut dengan kunjungan EXCO ini.

“Terima kasih tidak terhingga saya ucapkan kepada EXCO yang sudi datang menjenguk saya hari ini,” ujarnya yang masih bersedih dengan kehilangan tiga ahli keluarganya yang tidak dapat diselamatkan semasa kejadian.

Turut sama hadir bersama EXCO di program ziarah kasih ini ialah Pengarah Jabatan Kebajikan Masyarakat Negeri Kedah, Azmi Abd. Karim dan Pegawai Kebajikan Daerah Padang Terap, Sharifah Norliza Syed Ishak.