Laporan/Foto: Nurazreen Bt Abd Rahman /Ariza Bin Mohamed Zaki

Bagan, 7 Jan (Udabayas) – Seramai hampir 100 orang penduduk terbabit program gotong-royong  mencegah wabak denggi sebagai
usaha memberi penekanan terhadap aspek
kebersihan dan kesihatan dalam kalangan penduduk berikutan peningkatan kes denggi bertempat di dewan terbuka di Taman Dahlia ,mulai pada jam 7.30 pagi.

Penerangan kepada YB Soo Lip Chee berkaitan isu semasa wabak denggi

Gotong-royong yang dijalankan di Taman Mawar dan Taman Dahlia ini kelmarin, turut mendapat kerjasama dari agensi kerajaan seperti Pejabat Kesihatan Daerah Seberang Perai Utara,  Majlis  Perbandaran Seberang Perai yang turut bersama-sama dibantu oleh Jawatankuasa Kemajuan Dan Keselamatan Kampung Simpah dan Mak Mandin dan anggota Rela. Program ini juga diserikan dengan kehadiran YB Soo Lip Chee, Adun Bagan Jermal.

YB Soo Lip Chee Sama-sama turun padang dalam menjayakan aktiviti gotong royong di Taman Dahlia dan Taman Mawar

“Peningkatan kes denggi di kawasan ini amat membimbangkan dan langkah proaktif harus segera diambil, Saya menyeru semua penduduk untuk menjaga kebersihan di kawasan sekeliling dan prihatin bagi memastikan wabak ini dapat dikurangkan” katanya dalam program gotong royong yang dijalankan.

Walaupun pihak agensi kerajaan seperti Pejabat Kesihatan Daerah sentiasa membuat semburan asap di kawasan yang dicatatkan kes tertinggi denggi dan pelbagai kempen kesedaran juga aktif dilaksanakan, kerjasama penduduk setempat amat perlu dalam membasmi penularan wabak denggi untuk jangka masa pendek atau pun jangka panjang.