Laporan & foto  :B. Tanggamal & Raba’ayah Sidin

KUALA LANGAT, 15 Apr (Udabayas) – Menteri Besar Selangor, Amirudin Shari semalam meneruskan Jelajah Maju Bersama ke daerah Kuala Langat.

Beliau menyatakan akan menjelajah ke seluruh daerah di negeri Selangor ini dan hari ini telah sampai di Kuala Langat untuk bertemu dengan penjawat awam dan pemimpin tempatan.

“Saya bersyukur kerana kerajaan negeri Selangor telah melakar pelbagai kejayaan beberapa tahun yang lalu ini dan saya ingin tekankan di sini konsep profesional dalam tugasan harian dan penjawat awam terus bersama mentadbir negeri Selangor,” ucap Amirudin ketika Program Perhimpunan Pagi Menteri Besar Selangor Bersama Penjawat Awam Daerah Kuala Langat bertempat di Dewan Seri Jugra, Banting semalam.

“Fakta dan bukti menunjukkan negeri Selangor lebih maju ke hadapan dan kadar ekonomi negeri juga tinggi berbanding negeri-negeri yang lain.

Pelbagai program inisiatif telah dilaksanakan di bawah pemerintahan kerajaan negeri seperti Skim Peduli Sihat, Program KISS, bantuan pelajar dari tadika sehingga ke peringkat tertinggi dan lain-lain lagi,” ujar beliau.

Amirudin turut menyatakan kerajaan negeri Selangor juga diiktiraf mempunyai rekod dan pentadbiran yang terbaik dan ia merupakan pencapaian terbaik dalam sejarah pentadbiran negara dan menyeru kakitangan  awam cekap dan efisien serta laksanakan amanat dan tugas dengan penuh dedikasi.

Turut hadir sama adalah Setiausaha Kerajaan Negeri Selangor, Datuk Mohd Amin Ahmad Ahya dan juga Pegawai Daerah Kuala Langat, Mohd Jusni Bin Hashim.

-NAZ