Laporan/foto: Muhammad Fandy Azam (Melaka Tengah)/ FB Rasmi Adly Zahari

Melaka, 29 Nov (Udabayas) – Program Kayuhan Perdana ‘ Ride Against Drug’ Peringkat Negeri Melaka telah diadakan di perkarangan Stadium Hang Jebat, Melaka baru-baru ini.

Program yang telah dirasmikan oleh Ketua Menteri Melaka, Adly Zahari adalah program melalui kerjasama kerajaan Negeri Melaka dan Agensi Antidadah Kebangsaan Malaysia (AADK) Negeri Melaka.

Menurut Adly Zahari, program ini merupakan program yang mampu memberi kesedaran kepada komuniti setempat yang tinggal di sekitar Negeri Melaka agar perlu bangkit bersama dalam memerangi dadah bagi menjamin kesejahteraan hidup.

Adly bersama peserta berbasikal dalam program tersebut.

“Kerajaan Negeri berharap program ini mampu memupuk semangat kerjasama dan setiakawan diantara Agensi Kerajaan, Badan – Badan NGO, Persatuan Berdaftar serta komuniti setempat,” ujar beliau.

Timbalan Ketua Pengarah AADK Malaysia, Sabri Zainudin Zainul ditemui berkata program ini telah disertai lebih daripada 500 orang peserta dan jarak setiap kayuhan sepanjang 25 km adalah melibatkan kawan sekitar Negeri Melaka yang berisiko merupakan kawasan najis dadah.

“Pihak AADK mengucapkan terima kasih kepada kerajaan negeri kerana memberikan kerjasama dalam agenda memerangi dadah ini dan berharap agar program kayuhan ini dapat dijadikan simbolik pemilikhakkan dan tanggungjawab bersama,” ujarnya.

-N