Laporan/foto: M.Syafiq Razi (Padang Terap)

NAKA, 1 Nov (UdaBayas) – Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) Negeri Kedah turun padang serta berkongsi ilmu bersama-sama pelajar Kelab Malaysiaku Daerah Padang Terap, menerusi Program Amalan Demokrasi Berparlimen yang diadakan di Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Naka semalam.

Pelajar berkesempatan menunaikan hajat untuk mengundi olok-olok dan mempelajari teknik sebenar amalan sistem demokrasi dalam pilihan raya. Pegawai SPR yang hadir mengadakan simulasi hari pembuangan undi di Malaysia kepada para pelajar.

Norazwa Omar, 15, merupakan salah seorang peserta program tersebut melahirkan rasa bangga menjadi rakyat Malaysia dan amat menghargai kuasa rakyat dalam menentukan pemimpin negara.

“Ketelusan SPR dalam melaksanakan tanggunggjawab juga tidak perlu diragui lagi, banyak ilmu yang saya pelajari pada hari ini,” ujar pelajar tingkatan tiga ini.

Program ini  disertai oleh enam buah sekolah menengah dalam Daerah Padang Terap iaitu SMK Dato’ Syed Ahmad, SMK Kuala Nerang, SMK Padang Terap, SMK Pedu, SMK Naka dan SMK Lubuk Merbau.