Laporan & Foto: Ramasamy A.

JEMPOL, 8 Jan (UdaBayas) – “Setelah hampir dua tahun warga penduduk Pekan Rompin DUN Jeram Padang menghadapai kesulitan setelah perkhidmatan mesin pengeluaran wang automatik (ATM) yang sedia ada ditutup sejak 2016, kini sebuah mesin pengeluaran yang baharu telah siap dipasang di Petronas Rompin“.

Demikian kata ADUN Jeram Padang, Datuk Manickam Letchuman semasa Majlis Pelancaran Mesin ATM di Petronas Rompin pagi tadi.

Tambah Manickam, pemasangan ini akan memberi manfaat kepada hampir 5000 penduduk Kg Baru Rompin, Taman Seri Rompin, Kg Tanah Panjis, Ladang Bukit Pilah, Ladang Kok Foh, Felcra, Kg Orang Asli Batu Peti, Panchor, Sungai Klebang, Ladang New Rompin serta masyarakat sekitar di Pekan Rompin.

“Kini semua boleh menggunakan perkhidmatan tersebut dan tidak perlu lagi pergi ke Pekan Bahau ataupun ke Pekan Gemas untuk urusan pengeluaran wang tunai yang jaraknya lebih kurang 30km,“ ujarnya.

Sementara itu, penduduk G.Krishnan ketika ditemui berkata sebelum ini, dia terpaksa pergi ke Gemas atau ke Bahau untuk urusan pengeluaran wang tunai.

“Dengan adanya mesin MEPS ini, saya senang keluar duit di sini saja,“ katanya.

Manakala seorang lagi penduduk, Aziz Abdullah mengucapkan terima kasih kepada Manickam dan Menteri Besar Negeri Sembilan, Datuk Seri Mohamad Hasan yang telah berusaha selama hampir lebih setahun untuk mendapatkan perkhidmatan tersebut.