Laporan/foto: Mahazir Abu Hassan/Zainaudin Ab Hamid (Baling)

BALING, 14 Mac (UdaBayas) – Majlis Guru Besar (MGB) zon Baling kelmarin telah berkunjung ke Pejabat Penerangan daerah Baling bagi mendapatkan maklumat dan menjalinkan kerjasama diantara MGB Zon Baling, Pejabat Penerangan Daerah dan Pejabat Penyelaras Dewan Undangan Negeri Bayu.

Pengerusi MGB Zon Baling merangkap Guru Besar Sekolah Kebangsaan Pulai Mohamad Fauzi Md Noor, berkata objektif MGB adalah untuk menyatupadukan  guru-guru besar sekolah rendah di daerah ini di samping menjalankan sebarang kegiatan berhubung dengan profesyen untuk faedah semua ahli.

Sebahagian daripada guru-guru besar yang hadir sempena MGB kali ini.

“Kita mahu guru-guru besar zon Baling mendapat input yang bermanfaat daripada agensi-agensi berkaitan yang boleh dikongsi bersama untuk kebaikan sekolah. Secara tidak langsung hubungan silaturahim antara MGB dan agensi dapat dirapatkan untuk kebaikan bersama,” katanya yang ditemui, di sini.

Sementara itu Penyelaras Dewan Undangan Negeri Bayu Datuk Sopian Ahmad, berkata sebagai warga pendidik yang mengetuai sekolah-sekolah mereka harus memainkan peranan yang lebih bagi memastikan kejayaan dan kebajikan pelajar terpelihara.

“Lakukanlah tugas dengan penuh amanah, gunakanlah prinsip tadbir urus baik bagi melaksanakan dasar yang telah ditetapkan oleh kerajaan sekarang,” ujar Sopian.

MGB Zon Baling terdiri daripada 22 buah sekolah melibatkan 22 orang guru besar yang akan mengadakan perjumpaan tiga bulan sekali dan menjalinkan kerjasama dengan agensi-agensi yang berkaitan demi kebaikan kedua-dua belah pihak.