Laporan dan foto: Che Nor I.

RAUB, 30 Jun (UdaBayas)-“Prestasi cemerlang Pahang yang berada dalam kelompok kedua terbaik dalam carta Liga Super membuatkan kami terpanggil untuk
mencari pemain pelapis di daerah ini”.

Demikian kata Pengerusi Pertubuhan Anak Raub, Fazli Mohamad Kamal ketika Majlis Undian Liga Bola Sepak dalam daerah Raub di Pusat Perdagangan Raub semalam.

Sesi undian Liga Bola Sepak Raub

Tambah Fazli, program kali pertama anjuran Pertubuhan Anak Raub Pahang itu bertujuan untuk mengetengahkan bakat anak muda Raub yang boleh dibawa ke peringkat kebangsaan.

“Dalam kesebelasan utama pemain Pahang sendiri, pemain dari Raub ada tersenarai iaitu Ahmad Syamim Yahya (Syamim) yang dahulunya pernah menyarung jersi pasukan Felda United dan Johor serta pernah tersenarai pemilihan ke peringkat kebangsaan.

“Dengan Liga Super 2017 bakal berlangsung pada Julai depan, saya percaya ramai pemain berbakat akan menyertai program kali ini,” jelasnya.

Sementara itu, selain memupuk semangat kesukanan, Pertubuhan Anak Raub yang ditubuhkan pada awal 2107 turut berperanan untuk mengeratkan persahabatan antara belia serta mencegah mereka daripada melakukan perkara negatif.

Sebanyak 16 pasukan yang dibahagikan kepada empat kumpulan telah mendaftar dalam liga yang terbuka kepada anak Raub, pemastautin Raub, pelajar Raub dan mereka yang bertugas di Raub sahaja.

Dalam pada itu, johan Liga Bola Sepak Raub akan membawa pulang wang tunai RM5000 berserta piala pusingan manakala naib johan, RM3000.

Perasmian liga bola sepak akan diadakan di Padang SK Mahmod Raub dan Padang SMK (C) Chung Ching Raub  pada 15 Julai ini.