Pelapor dan foto: Hasbella Hasim (Perak Tengah)

BOTA, 14 Mac (UdaBayas) – Seramai 50 orang peserta terdiri daripada pengerusi dan ahli jawatankuasa Majlis Pengurusan Komuniti Kampung (MPKK) hadir bagi mendengar sesi taklimat pembentangan bajet negeri Perak anjuran Pengerusi Jawatankuasa Komunikasi, Multimedia, NGO dan Pembangunan Koperasi Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri Perak dengan kerjasama Jabatan Penerangan Negeri Perak, di sini, semalam.

Pengerusinya, Hasnul Zulkarnain Abdul Munaim berkata semua jawatankuasa MPKK harus berganding bahu dalam mengenali dan beramah mesra dengan penduduk kampung.

“Hal ini penting supaya kita dapat memahami kesukaran yang dialami oleh penduduk. Dengan menyelami kesempitan mereka baik dari segi ekonomi mahupun kesihatan, diharap bajet yang diperuntukkan oleh kerajaan negeri dapat membantu meringankan beban mereka,” ujarnya ketika ditemui.

Bajet tahun ini memberi tumpuan kepada program pembangunan sosio-ekonomi rakyat dengan bertemakan “Bersama Memacu Harapan”.

“Tanyalah diri apakah yang telah kita lakukan kepada masyarakat dan negara, bukannya apakah yang telah negara lakukan kepada rakyat,” tambah Hasnul.

Taklimat bajet pada Program Bersama Memacu Harapan Bajet Negeri Perak 2019 ini telah dibentangkan oleh Pegawai Penerangan Daerah, Tuan Saiful Bahari Tuan Ismail di Dewan Dato’ Hambal.