Laporan/foto: Lyana Athirah Mohd Saad/Mohd Annasa’e Mohd Syukor (Pokok Sena)

POKOK SENA, 14 Apr (UdaBayas) – Majlis Pengurusan Komuniti Kampung (MPKK) diminta agar memainkan peranan yang lebih proaktif dalam mengenal pasti keluarga yang miskin dan memerlukan bantuan tetapi tidak mendapat bantuan kerajaan.

Exco Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat, Pembasmian Kemiskinan dan Kebajikan Negeri Kedah, Halimaton Shaadiah Saad, berkata MPKK perlu lebih peka dan proaktif kepada keadaan sekeliling bagi mengenal pasti mereka yang memerlukan bantuan.

“Pemimpin masyarakat masa kini perlu lebih peka terhadap sekeliling mereka kerana tugas mereka lebih mencabar dan sentiasa berubah selaras perubahan ekonomi, pengetahuan, globalisasi dan ledakan teknologi maklumat dan komunikasi,” katanya ketika merasmikan Majlis Penyerahan Sumbangan Tabung Khas Wanita Negeri Kedah di Pejabat Daerah Pokok Sena, di sini semalam.

Seramai 33 orang penerima menerima sumbangan yang diharapkan dapat meringankan beban penerima yang kebanyakkannya merupakan penjaga kepada pesakit terlantar.