Laporan/foto:Nurazreen Bt Abd Rahman

PENAGA, 4 Feb (UdaBayas) – dua orang nelayan yang tidak pulang ke rumah setelah keluar dari Pangkalan Kuala Muda pada Jumaat lepas telah ditemui selamat hari ini. Menurut Pengarah Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (Maritim) Pulau Pinang, Kapten Hamizan Harun berkata, kedua-dua mereka menaiki bot fiber kelas A dipercayai keluar dari Pangkalan Kuala Muda pada jam sekitar 4.00 petang Jumaat lepas.Menurut Kapten Hamizan, ‘Maritime Rescue Sub Centre (MRSC) Langkawi diaktifkan sejurus menerima aduan daripada wakil Persatuan Nelayan Kuala Muda mengenai nelayan yang hilang tersebut. Turut serta dalam operasi mencari dan menyelamat(SAR) adalah Pasukan Polis Marin (PPM), Batu Uban dan nelayan-nelayan sekitar yang turut membantu mencari.

Mangsa, Yashir Abd Hamid

Mangsa yang dikenali Yashir Abd Hamid dan bersama seorang awak-awak warga tempatan telah ditemui berada 40 nautika daripada tempat yang sepatutnya beliau berada.
Menurut isteri mangsa, Musliza Shahril, 49 tahun “Pada hari Jumaat jam 4. 00 petang suami saya telah  keluar ke laut bersama seorang awak-awak warga tempatan dan kebiasaannya beliau akan pulang pada jam 8.00 atau 10. 00 malam pada hari yang sama.”

Pegawai Maritim sedang memberi penerangan kepada YB Afif Bahardin mengenai lokasi mangsa

Namun, berbeza pada kali ini suaminya tidak pulang ke rumah sehingga pada pagi Sabtu. Rakan mangsa telah memaklumkan mengenai kehilangan suaminya dan mereka bersama-sama membantu mencari mangsa sehingga pada petang hari Sabtu, tetapi mangsa tidak juga ditemui.

Menurut Pn. Musliza lagi, sebelum ini suaminya pernah mengadu mengenai masalah enjin bot yang kerap rosak, namun dapat diselamatkan oleh nelayan tempatan.

Ketika di temubual mangsa, Yashir Abd Hamid, memaklumkan selepas 8 jam keluar ke laut, tiba-tiba enjin bot mula meragam dan akhirnya mengakibatkan mereka terkandas di tengah lautan. ” Saya berasa risau dan berdoa agar ada bot nelayan atau bot penyelamat yang akan membantu kami, syukur walaupun setelah dua hari di lautan akhirnya kami ditemui.”katanya

” Saya ingin mengucapkan jutaan terima kasih kepada pasukan Maritim Malaysia, rakan-rakan nelayan serta semua pihak  yang membantu dalam operasi menyelamatkan kami”katanya lagi.

Turut hadir di tapak operasi Maritim di Pasar Bisik, Kuala Muda ialah YB Dato’ Ir Zakiyuddin bin Abdul Rahman, Timbalan Ketua Menteri 1  Pulau Pinang, YB Dr. Afif Bahardin, Exco Pertanian & Industri Asas Tani, Pembangunan Luar Bandar dan Kesihatan, YB Mohd Yusni Bin Mat Piah, ADUN Penaga, YB Khaliq Mehtab Bin Mohd Ishaq, ADUN Bertam, En Yusof Penghulu Tinggi Daerah Seberang Perai Utara, serta pegawai dari Jabatan Kebajikan Masyarakat.