Laporan : Lizza Imelia M Sulanah / Foto : Nurul Wahida Mohd. Noor (Seberang Perai Tengah)

PERMATANG PAUH, 8 Ogos (UdaBayas) – Usia bukan penghalang kepada Ahmad Mat Sap untuk menjuarai Bintang Patriotik MyMerdeka Sayangi Malaysiaku di Mydin Mall, Bukit Mertajam, yang berlangsung baru-baru ini. 

Ahmad, 68, amat meminati lagu-lagu patriotik dan sering memasuki pertandingan nyanyian dan buat pertama kalinya memasuki Pertandingan Bintang Patriotik sehingga dinobatkan sebagai Juara.  Beliau mempertaruhkan lagu Bahtera Merdeka sebagai lagu wajib bertemakan kemerdekaan dan Fatwa Pujangga sebagai lagu pilihan. 

Menurut beliau, saingan amat sengit dan para peserta telah cuba yang terbaik untuk menambat hati juri.  Soalan-soalan berkaitan Hari Kebangsaan dan MyMerdeka telah dijawab dengan baik oleh para peserta.  Beliau berterima kasih kepada ahlu keluarga yang datang bagi memberi sokongan pada peringkat saringan hinggalah peringkat akhir.

Persembahan yang cukup menarik,  disulami dengan pantun dan kata-kata indah yang disampaikan secara monolog membuktikan beliau menyelitkan daya seni kreatif dalam  persembahan akhir. Beliau membawa pulang baucer Mydin berjumlah RM500 beserta hamper barangan Adabi.

Naib Johan dirangkul oleh Nor Intan Ishak dan tempat ketiga disandang oleh Zaidatul Iman. Masing-masing membawa pulang baucer Mydin bernilai RM400 dan RM300 beserta hamper barangan Adabi.

Fakhrul Kevin, jejaka berbangsa Tiong Hua yang meminati hasil penulisan patriotik untuk dinyanyikan.  Beliau telah memakai busana yang bertemakan jalur gemilang, dihiasi manik-manik yang bergemerlapan, persembahan yang memukau telah menarik minat juri sekaligus dinobatkan sebagai Pemenang Persembahan Terbaik.  Beliau membawa pulang baucer Mydin serta barangan daripada Adabi. 

Majlis Penyampaian Hadiah telah disempurnakan oleh Mohd Rofee Mohammad, Pengarah Bahagian Komunikasi, Visual dan Senireka, Jabatan Penerangan Malaysia. 

Ahmad, Juara Bintang Patriotik MyMerdeka Sayangi Malaysiaku

-erk