Laporan dan foto oleh : M Zakry Chan (Melaka)

MACHAP, 12 Jan (UdaBayas) – Berat melebihi lima kilogram adalah antara saiz kebiasaan yang diperolehi oleh kaki-kaki pancing apabila mata kail disentap patin Tasik Machap, antara spesis ikan air tawar yang mendiami tasik tersebut.

Umpan popular yang biasa digunakan adalah ramuan dedak kuning dan hampas kelapa sudah cukup untuk menarik perhatian si patin, walau bagaimanapun untuk mendapatkan patin bukan mudah kerana pemancing harus mengetahui lubuk-lubuk yang biasa menjadi tempat patin bermain.

Dedak ayam kuning yang digunakan sebagai umpan.

Menurut seorang kaki pancing, Iskandar Mohd Yusof ,30, yang pernah menaikkan patin seberat tujuh kilogram, ramuan umpan seharusnya betul.

“Sebelum memancing kebiasaannya pemancing akan melontar campuran tepung, dedak kuning dan hampas kelapa untuk tujuan memberi tarikan kepada ikan-ikan spesis pemakan dedak seperti patin, tilapia, jelawat, rohu, dan lampan. Selepas 30 minit barulah umpan akan dicampakkan.

“Pada sebelah malam juga tidak kurang hebatnya apabila ikan keli pula mengambil tempat dan umpan cengkerik menjadi menu paling berkesan.

“Saya pernah membawa pulang 90 ekor keli dalam satu malam memancing di Tasik Machap,” ujar Iskandar lagi.