Laporan/foto: Md Khairul Azad Yunus

LABUAN, 17 Apr (UdaBayas) – Pengisian yang menjurus kepada Pembudayaan dan Pemerkasaan Pentaksiran Bilik Darjah (PBD) memeriahkan Karnival Hari Guru 2019 pada 13 April lalu.

Menurut satu kenyataan yang dikeluarkan pihak penganjur, Karnival itu bukan sahaja menganjurkan pertandingan permainan dan sukaneka tetapi turut dimeriahkan dengan beberapa aktiviti PBD seperti Aktiviti Pameran Inovasi yang menampilkan 17 buah stesen pameran daripada 72 orang pempamer. Aktiviti Pembentangan Amalan Terbaik PBD yang terdiri daripada 12 orang pembentang.

Pengarah Pendidikan Labuan, Raisin Saidin (dua dari kiri) mendengar penerangan salah seorang guru inovatif yang terlibat dalam pameran bahan inovasi PBD

Selain itu, turut diadakan Bengkel e-Pentaksiran PBD yang membimbing pengunjung untuk melaksanakan PBD dengan menggunakan aplikasi Plickers, Trasia, Augmented Reality (Aurasma & Quiver), Quizlet, Quizizz dan Padlet. Aktiviti itu dikendalikan tiga orang fasilitator.

Aktiviti Simulasi PBD bagi mata pelajaran Bahasa Melayu, Bahasa Inggeris dan Matematik yang dilaksanakan oleh tiga orang simulator yang terdiri daripada guru-guru dan Guru Penolong Kanan Kurikulum Sekolah Rendah serta School Improvement Specialist Coaches  (SISC+) Labuan.

Pertandingan rekaan baju daripada bahan plastik dan kotak minuman

Di samping itu, karnival juga diisi dengan ‘Kupi-Kupi PBD’ yang menampilkan ahli-ahli panel terdiri daripada guru-guru, guru besar serta pegawai-pegawai akademik bagi membincangkan tentang Pembudayaan dan Pemerkasaan Pentaksiran Bilik Darjah di Labuan selain acara Permainan Kahoot PBD termasuk Tayangan Pelaksanaan PBD di bilik darjah.

Karnival anjuran bersama Jabatan Pendidikan Labuan, Kumpulan Penggerak Pelibatan Ibu bapa dan Komuniti (KPIBK) dan Kumpulan Sokongan Ibu bapa (KSIB) bertujuan meningkatkan permuafakatan, kerjasama, sikap kebersamaan dan kesepunyaan bahawa sekolah adalah milik masyarakat.

Karnival ini juga berkonsepkan “Permuafakatan dan kerjasama semua pihak swasta dalam memberi penghargaan, meraikan dan mengucapkan ‘Terima Kasih Cikgu’  kepada warga pendidik.”

Raisin (empat dari kanan) bersama Jawatankuasa Pelaksana Karnival PBD 2019

Pelbagai acara dan aktiviti lain dilaksanakan bagi menggambarkan konsep tersebut antaranya Sukaneka dan Sukan Rekreasi seperti memanah, Amazing Race, Pertandingan “Golf On The Go”, Lenggang Mak Limah, Tarik Tali Unik dan Pancing Botol.

Karnival yang diadakan di dua lokasi iaitu Bahagian Teknologi Pendidikan Negeri dan SMK Rancha-rancha itu melibatkan 17 buah sekolah rendah dan 25 gerai jualan terdiri daripada Persatuan Ibu Bapa Guru (PIBG) sekolah-sekolah di Labuan.

EM