Laporan/foto: Mahrani Mohamad/Sarah Abdul Halim (Kulim)

KULIM, 29 Jan (UdaBayas) – Persatuan Bulan Sabit Merah Malaysia (PBSM) daerah Kulim meraikan kegembiraan apabila menerima sumbangan sebuah ambulans baharu daripada pihak MBI Desaku, Padang Meiha, di sini.

Majlis Penyerahan Kunci Ambulans dirasmikan oleh Pengerusi Jawatankuasa Penerangan, Komunikasi dan Multimedia dan Badan-badan Bukan Kerajaan Negeri Kedah Firdaus Ahmad mewakili Menteri Besar Kedah Datuk Seri Mukhriz Mahathir.

“Usaha dan bantuan daripada pihak MBI Desaku ini diharap menjadi contoh kepada badan-badan bukan kerajaan yang lain dalam melaksanakan tanggungjawab kerja amal dan kerjasama bagi memastikan keperluan rakyat dapat dipenuhi,” ujarnya ketika ditemui semalam.

Firdaus turut melahirkan rasa kagum apabila beliau diiringi menyaksikan keindahan pemandangan dan pembangunan yang dilakukan oleh pihak MBI Desaku sehingga mampu menarik perhatian pelancong dari dalam dan luar negara.

Beliau juga akan membawa usul MBI Desaku ini untuk diberi perhatian oleh Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya agar dapat dipromosi tempat menarik yang setaraf negara luar ini.

Turut hadir Ahli Dewan Undangan Negeri Kulim Yeoh Keng Chuan dan Pengarah Urusan MBI Desaku Koh Teck Ong.