Laporan/foto: Md Khairul Azad Yunus

LABUAN, 9 Jan (UdaBayas) – Pelajar sekolah boleh bertindak sebagai mata dan telinga pihak polis dengan memberi maklumat berkaitan kegiatan-kegiatan tidak sihat yang berlaku dalam kalangan rakan-rakan sebaya.

Menurut Ketua Polis Labuan, Superintendan Mohamad Farid Ahmad, ia penting agar kegiatan tersebut dapat dibanteras dan murid-murid yang terlibat tidak terjerumus dalam kegiatan yang merosakkan masa depan mereka.

“Pihak polis akan sentiasa membantu pihak sekolah dari segi pencegahan dan pembangunan diri murid-murid kerana itu merupakan sebahagian daripada sumbangan pihak polis kepada masyarakat.

“Para pelajar mesti mempunyai kekuatan untuk menghindarkan diri dari risiko dan pengaruh yang tidak baik daripada rakan-rakan sebaya.

Ismail (dua dari kanan) menyampaikan sijil penghargaan kepada Mohamad Farid

“Kesilapan dalam membuat pertimbangan akan menjejaskan tumpuan kepada pelajaran dan usaha untuk mencapai sesuatu kejayaan,” katanya semasa berucap pada program perjumpaan dengan warga SMK Labuan pada hari pertama persekolahan, baru-baru ini.

Sementara itu, Pengetua SMK Labuan, Ismail Abdullah berkata, pihak sekolah sangat menghargai komitmen pihak IPD membantu sekolah dalam hal berkaitan pencegahan jenayah dan aktiviti-aktiviti tidak sihat dalam kalangan murid SMK Labuan.

“Pihak sekolah telah mewujudkan medium komunikasi whatsapp bersama pegawai perhubungan polis untuk memudahkan penyaluran maklumat daripada kedua-dua pihak.

“Semoga kerjasama ini dapat membantu memudahkan usaha sekolah mencapai kecemerlangan dalam pelbagai bidang,” katanya.

EM