Laporan&foto: Salawati Mat Shariff/Ariza Mohamed Zaki (Seberang Perai Utara)

 

KEPALA BATAS, 4 Jan (UdaBayas)  – Operasi meninjau premis-premis makanan yang diwartakan sebagai tempat larangan merokok selari dengan Peraturan-peraturan Kawalan Hasil Tembakau (Pindaan) 2018 sekitar Kepala Batas bermula semalam oleh Pejabat Kesihatan Daerah Seberang Perai Utara.

Pegawai Kesihatan Epidemiologi, Dr. Chiew Wye Lee berkata, melalui tinjauan ini pihak kami dapat menyebarkan ‘educational enforcement’ sebagai langkah awal untuk memberi kesedaran kepada pemilik premis dan masyarakat bahawa undang-undang ini telah dikuatkuasakan.

“Pendidikan awal ini penting bagi mengelak masyarakat mempersoal tindakan pihak berkuasa mengenakan kompaun kepada mereka”.

Tambah Chiew, perokok dilarang merokok dimana-mana kawasan dalam lingkungan jarak 3 meter dari premis dan pemilik premis makanan perlu memastikan tanda larangan merokok yang mengikut spesifikasi ditetapkan oleh Kementerian Kesihatan dipasang di sudut premis sebagai peringatan kepada pelanggan-pelanggan mereka.

Peraturan-peraturan Kawalan Hasil Tembakau (PPKHT) 2004 pindaan 2018 ini bertujuan untuk melindungi orang awam dari bahaya asap rokok dibawah Peraturan 11 (1)(d) menyatakan bahawa tiada seorang pon boleh merokok dimana-mana tempat makan atau kedai berhawa dingin. Terdapat 8 kategori tempat makan yang disenaraikan iaitu gerai makan, restoran di atas tanah lot, rumah kedai, trak makanan, tempat makan terbuka, kedai makan dalam sungai, kedai makan atas awan dan di dalam kapal atau kereta api.

Larangan turut menghalang pengusaha premis menyediakan sebarang kemudahan untuk merokok termasuk bekas habuk rokok, tong sampah dengan bekas abu rokok atau zon merokok.

Jika disabitkan dengan kesalahan denda tidak melebihi RM5,000 atau penjara tidak melebihi 1 tahun selain denda tidak melebihi RM3,000 atau penjara tidak melebihi 6 bulan sekiranya premis tersebut tidak mempamerkan tanda larangan merokok dimana-mana bahagian yang mudah dilihat oleh pelanggan.

Suhaimi Ayob

Suhaimi Ayob, 45, seorang kakitangan awam, ketika ditemui berkata beliau menyokong usaha Kementerian Kesihatan untuk melindungi orang awam daripada terdedah kepada pencemaran asap rokok.

Farah Ahmad

Menurut Farah Ahmad, 30, pekerja premis makanan pula berkata kempen yang dihebahkan melalui saluran perdana, media sosial dan bahan bercetak amat berjaya kerana melalui pemerhatian beliau jumlah perokok di premis makanan tersebut hampir tiada langsung jika hendak dibandingkan sebelum ini. Beliau turut menaruh harapan agar semua pelanggan sedar tentang larangan ini dan mematuhinya.