Laporan/foto: Mahazir Abu Hassan/Mohamad Rabi Wahab (Baling)

BALING, 11 Feb (UdaBayas) – Lebih 150 penduduk dari Kampung Pulai, Kampung Sungai Limau dan Kampung Dalam Wang mengadakan bantahan secara aman bagi mendesak kerajaan negeri menyatakan pendirian untuk membatalkan terus rancangan projek kuari batu di Gunung Pulai.

Imam Masjid Kampung Sungai Limau selaku wakil penduduk Mohd Busairi Mohamad Daud, 44, berkata tujuan mereka berkumpul agar kerajaan negeri memahami masalah yang mereka hadapi jika projek kuari dilaksanakan.

“Hanya sekelompok pihak sahaja yang bakal memperolehi keuntungan daripada projek ini, tetapi kami sebagai penduduk hanya dapat debu serta ancaman keselamatan dan kesihatan serta merosakkan ekosistem, flora dan fauna yang ada sampai bila-bila,” katanya ketika ditemui, di sini kelmarin.

Seorang penduduk, Mohd Ridzuan Che Merat, 53, berkata pembinaan kuari batu akan memusnahkan tempat-tempat bersejarah dan 12 gua di gunung tersebut yang berpotensi untuk dijadikan tarikan pelancongan  serta boleh memberikan limpahan ekonomi kepada penduduk setempat.

“Lebih 7,000 penduduk kawasan ini akan terjejas jika projek kuari ini diteruskan. Ia akan mencemarkan sungai berdekatan yang menjadi sumber bagi loji rawatan air untuk kegunaan penduduk setempat,” ujarnya.