Laporan/ foto: Sapar Sutir (Rembau)

KUALA PILAH, 29 Jan (Udabayas) – Yang di-Pertuan Besar Negeri Sembilan Tuanku Muhriz Ibni Almarhum Tuanku Munawir berkenan mengurniakan anugerah Pingat Jasa Kebaktian (PJK) kepada 104 orang penerima, Pingat Khidmat Lama (PKL) seramai 8 orang, seorang penerima Pingat Bentara Tuanku Muhriz (BTM), 55 orang  penerima Pingat Khidmat Cemerlang Masyarakat (PMC), 17 orang  penerima Ahli Setia Negeri Sembilan (ANS), 4 orang penerima Darjah Setia Negeri Sembilan (DSN) dan 4 orang penerima Darjah Pekerti Terpilih (DPT) pada 28 Januari 2019 di Balairong Seri Istana Seri Menanti Kuala Pilah sempena Hari Keputeraan Baginda ke-71.

Antara penerima Pingat Jasa Kebaktian (PJK) adalah dua orang kakitangan Jabatan Penerangan Malaysia Negeri Sembilan, Hasrulazlinda Hassan, dari Pejabat Penerangan Daerah Kuala Pilah dan Sapar Sutir, 53 dari Pejabat Penerangan Daerah Rembau.

“Saya megucapkan setinggi terima kasih kepada kerajaan Negeri Sembilan serta pihak istana kerana memilih saya untuk menerima anugerah Pingat Jasa Kebaktian (PJK),” ujar Hasrulazlinda Hassan ketika ditemui di Istana Seri Menanti Kuala Pilah.

Pada istiadat pengurniaan darjah kebesaran, bintang dan pingat kali ke-2 tahun 2019 ini, seramai 8 orang telah dikurniakan gelaran Dato’. Antaranya adalah Pengarah Jabatan Kesihatan Negeri Sembilan, Dr. Zainuddin Mohd Ali yang berasal dari Rembau, Negeri Sembilan.

Pemberian pingat membuktikan penghargaan yang tinggi Kerajaan Negeri Sembilan kepada kakitangan Jabatan Penerangan Malaysia Negeri Sembilan yang sentiasa membantu menjayakan program-program yang melibatkan kerajaan negeri serta dari pihak Istana Seri Menanti Kuala Pilah.

-n