Laporan: Nurazreen Abd Rahman/Ariza Mohamed Zaki (Seberang Perai Utara)

PINANG TUNGGAL, 14 Feb (UdaBayas)– Bagi penggemar kerja-kerja DIY tentunya akan tertarik dan senyum apabila disebutkan kayu pelapik kargo ataupun istilahnya kayu pallet yang terdiri daripada pokok getah, oak ataupun pine yang mempunyai tarikan tersendiri dan dari segi ketahanannya yang berbeza. Sebut saja kayu pallet, kita sudah membayangkan keistimewaannya yang menjadi elemen dalam membangkitkan aura natural tidak kira sama ada digunakan dalam rumah, kedai, kafe, pejabat atau sudut taman. Menjadi rebutan bagi peminat-peminat kerja DIY kerana selepas dibersihkan dan disapukan syelek,urat-urat kayu pallet akan timbul dan nampak begitu klasik sekali. 

Pemilik The Kayu Pallet, En. Mohd Khasfullizam

Usahawan jenama ‘The Kayu Pallet’, Mohd Khasfullizam Md Saad, 36 tahun ataupun mesra dipanggil Zam memberitahu pembabitan dalam dunia perabot dan perhiasan berasaskan kayu pallet,bermula semasa beliau menjadi jurugambar sambilan untuk majlis perkahwinan suatu ketika dulu. Ketika itu beliau berdepan dengan situasi sukar untuk mendapatkan set pengambaran perhiasan sesuai untuk melengkapkan sessi penggambaran pengantin. Zam  menganggap ia sebagai cabaran yang perlu dilalui secara profesional, lalu mendorong beliau untuk membuat kajian dan belajar dari kawan-kawan serta dari Youtube untuk menjadikan realiti sehinggalah sanggup pergi mengutip kayu pallet  di beberapa kilang di kawasan sekitar bagi mendapatkan kayu pallet terpakai.

Bengkel membuat perabot dari kayu pallet

“Daripada proses mencari bahan mentah hingga penghasilan perabot berasaskan kayu pallet terpakai saya sendiri yang melakukannya dan dari situ tercetus idea untuk menceburkan diri secara serius dalam bidang ini” katanya lagi.Kaedah pemasaran yang digunakan oleh Zam adalah melalui Facebook yang mempunyai lebih 30,000 kenalan. 

Bagi yang baru berjinak-jinak dengan dunia perniagaan kafe atau restoran, memilih kayu palet sebagai perabot dan hiasan antara pilihan terbaik kerana ia lebih menjimatkan. “Ini ditambah dengan ketahanan semula jadi kayu palet yang tahan lasak dan sesuai dengan pelbagai konsep dekorasi atau taman,” kata Mohd Khasfullizam yang tetap yakin di mana-mana pun kayu pallet memang menjadi pilihan utama.

Kini beliau telah mempunyai 4 buah bengkel untuk pemprosesan kayu pallet bagi memenuhi permintaan yang sangat tinggi. Biasanya untuk sesuatu perabot atau perhiasanya masa yang diperuntukkan untuk menyiapkanya adalah dalam tempoh 2 minggu.  

Beliau juga ada menyediakan kemudahan bagi pelajar-pelajar IPT yang mahu menjalani latihan industri seperti  pelajar dari UiTM Jengka, Pahang  yang mengikuti jurusan Diploma Industri Pengkayuan dan juga Sarjana Muda (Kepujian) Teknologi Perabot serta pelajar dari Politeknik Seberang Perai.