Laporan/foto: Nurazreen Bt Abd Rahman/Ariza Mohamed Zaki (Seberang Perai Utara)

Bagan, 16 Jan (UdaBayas) – Perayaan Ponggal merupakan perayaan yang wajib disambut oleh kebanyakkan kaum India tanpa mengira latar belakang kaum India.

Sambutan Ponggal ini diraikan sebagai tanda syukur dan berterima kasih kepada tanaman terutamanya padi yang menjadi amalan kebudayaan turun-temurun yang disambut setiap tahun mengikut pada permulaan tahun bulan Januari atau Februari ataupun dikenali dengan bulan Thai. Selain itu ianya juga dikenali sebagai “Pesta Menuai”.

Antara kedai menjadi tumpuan untuk mendapatkan keperluan sambutan ponggal

Perkataan “Ponggal” ialah merujuk nama kepada sejenis masakan. Ia merupakan nasi manis yang dimasak menggunakan susu, buah pelaga, gula perang, buah gajus, kismis dan minyak sapi. Pada perayaan ini, nasi yang dimasak akan dipersembah kepada Dewa Matahari dan diberi makan kepada lembu-lembu diikuti ahli keluarga, saudara dan kenalan.

Menurut Sita, 50 tahun pengusaha Pasar Mini Jothee, kebiasaannya perayaan Ponggal ini disambut selama 3 hari. Hari pertama sambutan adalah “Ponggal rumah” , hari kedua “Ponggal untuk haiwan (lembu) ” dan hari ketiga “Ponggal untuk gadis yang belum berkahwin” .

Sebelum memasak Ponggal, persiapan barangan asas seperti periuk Tanah, batang tebu, kayu api, daun kunyit dan “thoranam’ yang diperbuat menggunakan lepah pokok kelapa perlu disediakan.

Batang tebu menandakan kemanisan yang berterusan, daun kunyit menandakan kesejahteraan dalam keluarga dan ‘thoranam’ pula bermaksud untuk tuah yang baik.

Kos keseluruhan untuk memasak Ponggal adalah dalam lingkungan RM50.00.

Ujar Sita,” Sesetengah peralatan seperti periuk  tanah perlu ditempah dari Taiping, Perak untuk memastikan bekalan mencukupi.” Menurutnya lagi, memasak Ponggal  menggunakan kayu api dengan menggunakan periuk tanah lebih sedap dan tentunya mengambil masa, berbanding memasak menggunakan dapur gas.