Laporan/foto: Mohd Hairul Bakar/Mohd Firdaus Mahmud (Kuala Muda)

SUNGAI PETANI, 3 Feb (UdaBayas) – Tiga wakil kaum berbeza agama masing-masing Islam, Hindu dan Buddha di sini sebulat suara untuk terus menyemai sifat kasih sayang dan perpaduan diantara kaum dan bagi meraikan insan yang kurang bernasib baik sempena Tahun Baharu Cina yang akan disambut tidak lama lagi.

Pengerusi Jawatankuasa Perpaduan Negeri Kedah, Summugam Rengasamy berkata beliau berhasrat agar perpaduan dan keharmonian dalam kalangan kaum ini terjalin erat dan kukuh demi masa depan yang lebih baik.

“Program seperti ini adalah platform terbaik untuk pelbagai kaum bertemu sekaligus mengeratkan perpaduan kaum yang telah lama terjalin di kawasan ini,” katanya ketika berucap merasmikan majlis, di sini hari ini.

Turut diraikan, 15 orang penerima pelbagai kaum dari kalangan penduduk Taman Bandar Baharu yang menerima baucar bantuan dan bantuan berbentuk keperluan harian.

Penerima bantuan, Koh Ah Ba, menzahirkan ucapan ribuan terima kasih kerana melaksanakan program seumpama ini dan bantuan yang diberikan ini dapat meringankan sedikit beban bagi meraikan Sambutan Tahun Baharu Cina tidak lama lagi.