Laporan/ foto: Muhammad Hafiz/ Pai Syahira (Pahang)

BENTONG, 12 Mac (Udabayas) – Hampir 1,000 pembaca mengunjungi Perpustakaan Awam Daerah Bentong setiap bulan yang terletak di Lorong Nur Zabidi, Kampung Baru,  membuktikan budaya membaca masih relevan di perpustakaan daerah meskipun dalam arus pemodenan digital.

Antara koleksi sejarah bentong berbentuk bahan digital.

Perpustakaan Awam Daerah Bentong merupakan perpustakaan yang kedua dibuka selepas Perpustakaan Awam Daerah Temerloh  secara rasminya pada 30 April 1984 oleh Menteri Besar Pahang.

Ia dibina dengan menggunakan bangunan kerajaan yang terletak di Kampung Baru, dalam memberikan sumbangan kepada masyarakat tempatan bagi perkembangan ilmu di daerah Bentong.

Bermula 2003, satu inisiatif baru dari kerajaan untuk membina bangunan baru bagi perpustakaan Awam Daerah Bentong dirasmikan dengan perkenan  Kebawah Duli Yang Maha Mulia Sultan Pahang, Sultan Haji Ahmad Shah AL-Musta’in Billah Ibni Al-Marhum Sultan Abu Bakar Ri’ayatuddin Al-Mu’azam Shah pada 22 Oktober 2003. Bangunan baru ini menyediakan kemudahan yang lebih selesa dan mesra pengguna perpustakaan.

Perpustakaan Awam Bentong sentiasa melaksanakan pelbagai aktiviti bagi menarik minat masyarakat sekitar bagi menggalakkan budaya membaca buku seperti aktiviti kempen Revolusi Membaca, aktiviti bersama tadika perpaduan , program cuti sekolah, program Hari Kanak-kanak, program sempena Hari Warga Emas, Quran Hour, Pengisahan Sejarah dan pelbagai aktiviti lagi. Semua aktiviti ini menghubungkan semua peringkat usia dan latar belakang dari peringkat pra-sekolah sehingga ke warga emas di daerah Bentong.

“Perpustakaan Awam Bentong juga telah diiktiraf sebagai antara yang terbaik di negeri Pahang dan antara yang terbaik di Malaysia dengan menerima kunjungan delegasi dari pelbagai negara di bawah program World Library and Information Congress, 84th International Federation of Library Association and Institutions (IFLA WLIC 2018) pada 24 hingga 30 Ogos 2019 kerana pencapaian yang terbaik dan pembaharuan yang dibuat,” demikian menurut Norazmah Abdul Rani yang telah berkhidmat sejak 2003 di Perpustakaan Awam Bentong.

Bangunan Perpustakaan Awam Daerah Bentong yang terkini telah dirasmikan pada 2003 oleh Sultan Pahang.

Kempen Revolusi merupakan salah satu pendekatan digunakan oleh Perpustakaan Awam Bentong bagi menarik minat masyarakat untuk membaca dan meminjam buku  dengan membuat pengkongsian menggunakan medium media sosial.

Para pembaca akan berkongsi gambar buku dan memuat naik ke Instagram Perpustakaan Bentong, di mana pemenang akan menerima hadiah hasil perkongsian terbanyak dengan meletakkan tanda pagar #revolusimembaca.

Usaha-usaha menggalakkan minat membaca terus dilaksanakan oleh pihak perpustakaan khususnya dalam melahirkan individu dan kelompok yang aktif dalam mencari ilmu. Program e-book dan membaca serta peminjaman buku secara atas talian, akan diperkenalkan selain daripada pengeposan buku kepada pembaca dijangka dapat meningkat lagi memupuk sifat suka membaca.

-N