Laporan/foto: Fasharina Kholil (Sik)

SIK, 27 Okt (UdaBayas) – Lagu “Perwira” dendangan asal Allahyarham Saloma menjadi pilihan para peserta pada Pertandingan Lagu Patriotik Peringkat Daerah Sik yang berlangsung di Dewan Ibnu Sina, Sekolah Kebangsaan (SK) Seri Ampang Muda, di sini baru-baru ini.

Pertandingan tahun kedua ini disertai oleh 33 orang pelajar lelaki dan perempuan dari sekolah rendah sekitar daerah ini.

Seramai 33 pelajar menyertai pertandingan kali ini.

Menurut Ketua Juri, Idham Nasir Jaafar, majoriti peserta memilih lagu Perwira untuk didendangkan.

“Pemilihan lagu ini mungkin disebabkan senikata dan iramanya yang merdu serta mudah untuk dibawa dan sedap didengar. Peningkatan kualiti peserta juga semakin baik dari tahun sebelum ini.

“Persaingan sengit antara peserta membuatkan juri sukar untuk membuat keputusan serta penilaian. Namun begitu, kita pilih yang terbaik di antara yang terbaik serta memenuhi kriteria pertandingan ini,” jelas guru besar SK Gulau ini.

Penganjuran program ini adalah untuk meningkatkan semangat dan nilai patriotik dalam kalangan pelajar dengan cara santai serta sesuai dengan kehendak generasi muda masa kini.

Johan bagi kategori perempuan adalah Nur Natalia Elisya Azmi dari SK Kota Bukit. Natalia juga mencipta rekod tersendiri apabila muncul johan untuk dua tahun berturut-turut.