Laporan/foto: Idris Sani Saberun/Nasrie Tapisil (Kota Kinabalu)

KOTA KINABALU, 13 Feb (Udabayas) – Persatuan Isteri Wakil-wakil Rakyat Dewan Undangan Negeri (PERWISA) disaran meningkatkan pengetahuan dan kemahiran diri.

Setiausaha Kerajaan Negeri (SKN), Datuk Seri Hashim Paijan berkata, pengetahuan dan kemahiran terutama amalan protokol dan etiket sosial yang baik mampu meningkatkan keyakinan diri seseorang individu dalam menghadiri majlis-majlis formal.

“Perkara ini penting diterapkan agar kita mempunyai amalan dan nilai sosial yang tinggi dan lebih beretika serta berkeyakinan semasa berada dalam suasana formal.

“Amalan nilai etika dan protokol yang baik mencerminkan sikap profesionalisme.

Hashim ketika menyampaikan ucapan penutupan Program Eksklusif Protokol dan Etiket Sosial PERWISA.

“Sikap profesionalisme yang tinggi pula akan meningkatkan keyakinan dan pandangan masyarakat terhadap kita,” jelas beliau pada Majlis Penutupan Program Eksklusif Protokol dan Etiket Sosial Persatuan Isteri Wakil-wakil Rakyat Dewan Undangan Negeri di sini, semalam.

Menurut beliau, program tersebut diadakan bertujuan untuk meningkatkan kefahaman ahli PERWISA tentang keperluan amalan protokol dan etiket sosial dalam pengendalian majlis khususnya majlis rasmi negeri dan persekutuan.

Katanya, dengan ada kemahiran hal ehwal protokol dan etiket sosial maka sudah tentu dapat mempersiapkan diri dan bersedia untuk melaksanakan tugas serta tanggungjawab agar tidak kekok dalam majlis-majlis rasmi.

Hashim berharap agar ahli PERWISA sentiasa kreatif dalam melengkapkan diri dengan kemahiran semasa, inovatif dalam mendedahkan diri kepada perkara-perkara baharu serta agresif dalam mempelajari ilmu bagi meningkatkan kecemerlangan diri selaras dengan perkembangan semasa.

Antara ahli-ahli PERWISA yang menghadiri Kursus Protokol dan Etiket Sosial.

Kira-kira lebih 30 ahli PERWISA menyertai program tersebut anjuran bersama Institut Latihan Sektor Awam Negeri (INSAN) dan Bahagian Istiadat dan Protokol, Jabatan Ketua Menteri (JKM) yang berlangsung selama dua hari, bermula 11 Februari.

Hadir sama Timbalan Yang Dipertua PERWISA, Datin Seri Dr. Jaina Sintian, Pengarah INSAN, Sarbini Jadin, Timbalan Pengarah INSAN, Rupia [email protected] Gracy, serta Pengarah Bahagian Istiadat dan Protokol, JKM, Christopher Lingam.

EM