Laporan/Foto: Musliha Yusof (Johor Bahru)

JOHOR BAHRU, 3 Dis (Udabayas) – Dewasa ini, pengaruh kekecewaan dan kemurungan merupakan satu risiko yang dihadapi oleh pelbagai golongan masyarakat. Terdapat individu tertentu yang lebih cenderung dalam cubaan membunuh diri.

Namun begitu, perbuatan bunuh diri terjadi kepada sesiapa sahaja tanpa mengira latar belakang. Sebahagian faktor menjurus kepada perbuatan bunuh diri adalah kemurungan, gangguan mental dan penyalahgunaan dadah. Kes gangguan mental dan penderaan dalam sejarah keluarga juga turut mendorong perbuatan bunuh diri.

Membunuh diri akan meninggalkan kesan kepada keluarga dan rakan-rakan. Ia mungkin menimbulkan perasaan bersalah dan marah. Ia boleh mengakibatkan kesedihan yang berpanjangan, penyakit mental yang teruk seperti kemurungan dan penyalahgunaan dadah dan sebagainya.

Beberapa kelakuan yang sering ditunjukkan oleh seseorang yang cenderung bunuh diri adalah bercakap tentang keinginan untuk mati atau membunuh diri. Individu tersebut juga sering bercakap tentang rasa kosong, tiada harapan atau sebab untuk hidup.

Mereka yang kecewa juga sering menyatakan rasa bersalah atau malu berhadapan masyarakat. Di samping itu, mereka juga berasa terperangkap atau beranggapan seolah-olah tiada penyelesaian dalam menghadapi masalah.

Terdapat juga segelintir golongan yang menghadapi kekecewaan dalam hidup tegar mengambil tindakan yang boleh membawa maut seperti memandu dengan laju.

Satu organisasi Pertubuhan Bukan Kerajaan (NGO) yang dikenali sebagai Befrienders mengambil tanggungjawab sosial dalam membantu masyarakat yang menghadapi kemurungan. Persatuan ini telah beroperasi lebih kurang sepuluh tahun dan mempunyai cawangan di setiap negeri.

Salah seorang sukarelawan Befrienders, Jack Lee, 47, memberitahu bahawa selama setahun beliau menyertai persatuan ini, sebanyak 4,000 panggilan telefon telah diterima. Persatuan ini mengambil inisiatif menjadi pendengar kepada setiap masalah yang dihadapi oleh masyarakat yang bermasalah.

Apa yang dilakukan sukarelawan persatuan ini adalah melayan untuk berbual, memberi tumpuan terhadap apa yang mereka ingin luahkan, cungkil perasaan mereka dengan mendalam, layan dan dengar mereka bercakap agar mereka boleh lihat diri mereka dengan mendalam, berkongsi masalah dengan mereka, sehinggalah bertanyakan adakah selama ini terlintas di fikiran mereka untuk membunuh diri.

“Kebanyakan masyarakat pada hari ini suka memendam masalah. Mereka berasa malu dengan masalah yang dihadapi. Sikap sebegini akan menjadi lebih teruk bila mereka mula menghadapi kemurungan. Apa yang lebih sedih selalu bila mereka mengambil jalan mudah untuk mengakhiri hidup dengan membunuh diri”, ujar Jack di majlis Sambutan Hari Aids Sedunia Peringkat Kebangsaan 2018.

Pada tahun ini, majlis Sambutan Hari Aids Sedunia Peringkat Kebangsaan 2018 telah disempurnakan oleh YB Dr. Lee Boon Chye, Timbalan Menteri Kesihatan Malaysia di Kilang Bateri, Johor Bahru semalam.

“Kesedaran dari masyarakat tentang bahayanya penyakit ini telah memperlihatkan penurunan peratusan pesakit AIDS di Malaysia” ujarnya.

Pelbagai pameran dan aktiviti telah dilaksanakan pada hari ini untuk memberi kesedaran kepada masyarakat tentang bahayanya penyakit AIDS. Para pesakit HIV adalah disarankan untuk mendapatkan rawatan mengikut saluran yang betul.

Turut hadir adalah Pengarah Kesihatan Negeri Johor, Dr. Selahuddeen Abdul Aziz dan Presiden Majlis AIDS Malaysia, Bakhtiar Talhah.

EM