Laporan & Foto Oleh : Mohd Zahid Bin Othman & Mohd Najib Bin Mohaini (Johor Bahru)

JOHOR BAHRU, 22 Dis (UdaBayas) – Kecekapan Polis DiRaja Malaysia (PDRM) tidak pernah dinafi apabila berjaya memberkas suspek-suspek dalam kes tikam dan gilis seorang mangsa di sebuah stesen minyak di Taman Pelangi, Johor Bahru.

Timbalan Menteri Dalam Negeri merangkap Ahli Parlimen Pulai, Datuk Nur Jazlan Mohamed berkata, orang ramai tidak perlu bimbang dan membuat spekulasi mengenai kadar jenayah di negara ini kerana pihak Polis sentiasa memantau aktiviti-aktiviti jenayah dalam negara ini.

“Sebab itu Polis dapat menangkap suspek jenayah ini dengan begitu cepat kerana kita telahpun mengenalpasti mereka lebih awal dan sekiranya berlaku apa-apa kes pergaduhan atau pembunuhan dikalangan mereka, Polis dapat mengesan siapa yang melakukannya.

Masalah dengan indeks jenayah di negara ini adalah masalah jenayah yang tidak terancang, yang penjenayahnya belum lagi dikenalpasti oleh polis kerana mereka bukan penjenayah tradisional atau penjenayah berulang. Tetapi penjenayah terancang ini, Polis memang memantau kegiatan mereka. Jangan bimbang,” jelas Nur Jazlan pada sidang media yang diadakan selepas merasmikan Majlis Pelancaran Program Transformasi Sosial (PTS) dan Karnival Kejiranan Indah di Rumah Pangsa Taman Tampoi Utama, Pulai pagi tadi.

Nur Jazlan mengulas mengenai perkara ini apabila disoal wartawan mengenai kes pembunuhan tikam dan gilis di sebuah stesen minyak di Taman Pelangi, Ahad lalu. Sehingga kini, Polis Johor telah menahan 13 individu termasuk empat wanita bagi membantu siasatan.

  • RDL