Laporan/ foto: Md Khairul Azad Yunus

LABUAN, 8 Feb (Udabayas) – Program Pendidikan Khas Integrasi (PPKI) SMK Lajau menerima sumbangan sebuah kitchen mixer berjenama Electrolux daripada Bank Perdagangan dan Perindustrian China (ICBC) Cawangan Labuan, baru-baru ini.

Menurut Pengetua SMK Lajau, Mohd Jamatin Abd Latip, pihaknya amat mengalu-alukan dan sangat berbesar hati menerima sumbangan seperti itu bagi melengkapkan keperluan murid-murid di sekolah khususnya murid berkeperluan khas bagi menjamin keberkesanan pengajaran dan pembelajaran di dalam kelas.

“PPKI SMK Lajau mengucapkan terima kasih kepada Bank Perdagangan dan Perindustrian China (ICBC), Cawangan Labuan yang sudi membantu pelajar dalam pengajaran dan pembelajaran di dalam kelas.

Mohd Jamatin (dua dari kiri) menerima sumbangan daripada Wang Qiang (dua dari kanan) sambil diperhatikan Noraini Sabudin.

“Dengan adanya sumbangan tersebut, PPKI SMK Lajau secara tidak langsung dapat mendedahkan aktiviti keusahawanan dalam kalangan murid berkeperluan khas dengan penggunaan sepenuhnya sumbangan mixer tersebut bagi menghasilkan produk jualan roti dan jualan pastri.

“PPKI SMK Lajau bertuah menerima sumbangan tersebut memandangkan sekolah menawarkan Kursus Pembuatan Roti dan Pembuatan Pastri yang sememangnya memerlukan penggunaan mixer bagi menjalankan dan memudahcara aktiviti pengajaran dan pembelajaran (PdPc) di dalam bengkel, khususnya aktiviti amali,” katanya.

Sumbangan yang merupakan sebahagian tanggungjawab sosial korporat (CSR) ICBC itu disampaikan sendiri oleh Ketua Pegawai Eksekutif Bank Perdagangan dan Perindustrian China (ICBC), Cawangan Labuan, Wang Qiang.

Wang Qiang (dua dari kanan) menerima homemade biscuits produk murid-murid PPKI SMK Lajau daripada Mohd Jamatin.

Turut hadir Penolong Kanan PPKI SMK Lajau, Noraini Sabuddin, Timbalan Ketua Pegawai Eksekutif ICBC Labuan, Lim Kok Fuat dan Penolong Ketua Pegawai Eksekutif ICBC Labuan, Xiao Jing.

EM