Laporan dan foto oleh: Mohd Faizal Mansor / Jeffrey Nian

LABUAN 9 Ogos (Udabayas) – Program Pembelajaran ‘VSchool Trend’ merupakan sebuah sistem baharu dalam talian yang berkesan dan boleh memberikan pelajar belajar pada bila-bila masa dan di mana sahaja untuk memudahkan para pelajar berinteraksi dengan guru mereka.

Pada masa kini, kebanyakan ibu bapa mahukan  anak-anak mereka mendahului dalam semua aspek terutama pelajaran. Oleh itu, ibu bapa akan mengaturkan banyak rancangan dan kursus pembelajaran untuk memastikan anak-anak mereka cemerlang.

Amir ketika ditemui pemberita

Menurut Penyumbang Program ini, Dato’ Sri Amir Hussien ketika ditemui pemberita di salah sebuah hotel terkemuka di sini pagi tadi berkata Program  Pembelajaran  ‘VSchool Trend’  adalah  platform  pembelajaran  unik yang mengintegrasikan teknologi ke dalam pembelajaran pelajar berdasarkan sukatan pelajaran sekolah dan ia telah dipraktikkan di sekolah-sekolah di Semenanjung Malaysia dan meninggalkan kesan yang positif.

“Sistem pembelajaran dalam talian ini juga dilengkapi dengan sistem suara dan kandungan yang terkini, ia bukan sahaja membolehkan pelajar dari sekolah rendah dan sekolah menengah untuk belajar pada bila-bila masa dan di mana sahaja tetapi juga mengubah pembelajaran menjadi lebih menarik dan meningkatkan hasil pembelajaran mereka”, ujar Amir yang juga merupakan Ketua Pegawai Eksekutif Drachen-Welle Engineering.

Menurutnya, Program  Pembelajaran  ‘VSchool Trend’ menyokong  pelbagai  keperluan  dari sekolah  rendah  ke  sekolah  menengah  di  mana  kandungannya  berdasarkan  sukatan pelajaran sekolah (KSSR Semakan / CEFR / KSSR / KSSM / KBSM) yang sesuai untuk pelajar UPSR, PT3 & SPM.

Katanya, pihaknya juga turut menyediakan ganjaran dari semasa ke semasa untuk pelajar yang rajin dan mencapai keputusan cemerlang dalam penggunaan Program Pembelajaran ‘VSchool Trend’ di sekolah-sekolah yang terlibat di Labuan.

“Sejak  Januari  2018,  beberapa  buah  sekolah  telah  menggunakan Program Pembelajaran VSchool Trend bagi para pelajar sekolah-sekolah yang terlibat iaitu Sekolah Kebangsaan (SK) Sungai Bedaun dan SK Sungai Lada di Terminal Sejahtera Perbadanan Labuan serta Taman LDA, Kg. Sungai Bedaun, Wilayah Persekutuan Labuan”, katanya lagi.

Amir yang merupakan anak jati Labuan terpanggil untuk berbakti dengan masyarakat Labuan dengan tampil untuk memberikan bantuan Program Pembelajaran ‘VSchool Trend’ ini kepada sekolah yang terpilih di Labuan yang kini ia memasuki fasa kedua pada tahun ini yang mana 6 buah lagi sekolah akan menerima bantuan program tersebut termasuk satu sekolah jenis kebangsaan cina (SJKC).

EM