Oleh: Salawati M. S.

TASEK GELUGOR, 5 Jan (UdaBayas) – Majlis Penyerahan Kunci program ‘Rent To Own’ Taman Desa Ara kepada 52 penerima yang layak telah berlangsung di sini, semalam.

Program ini adalah berkonsepkan rumah sewa beli dan menyasarkan golongan pendapatan rendah yang tidak mampu mendapat pinjaman perumahan daripada Institusi kewangan.

Sebanyak 106 unit rumah telah disediakan khas untuk program ini dan penerima hanya perlu membayar sebanyak RM290 sebulan kepada PVI selama 20 tahun.

Menurut seorang penerima, Norlia Samad, 49, berasa amat gembira kerana berjaya memiliki rumah menerusi program ‘Rent To Own’ tersebut melalui permohonan yang dihantarnya hampir 8 bulan yang lalu.

Norlia yang merupakan seorang ibu tunggal kepada tiga orang anak termasuk seorang anak orang kurang upaya (OKU) berusia empat tahun ini berkata akan berpindah masuk secepat mungkin dan bercadang menjalankan perniagaan kecil-kecilan untuk membiayai sewa bulanan yang telah dipersetujui dengan pihak PVI.

Program ini dilaksanakan berdasarkan harga semasa rumah di Pulau Pinang yang kebanyakan tidak mampu dibeli oleh rakyat negeri ini kerana harga yang tinggi.

Demi menunjukkan keprihatinan dalam mendengar rintihan dan keperluan masyarakat, PERDA sebagai agensi Badan Berkanun Persekutuan di bawah Jabatan Perdana Menteri telah melaksanakan Dasar Perumahan Negara dengan membangunkan projek pembangunan bercampur Taman Desa Ara yang terdiri daripada 406 unit rumah telah siap dibina termasuk 172 unit rumah kos rendah serta 34 unit kedai.

Projek Perumahan Desa Ara 1A dan 1B ini telah dilaksanakan oleh anak syarikat milik penuh PERDA iaitu Perda Ventures Incoperated Sdn Bhd (PVI), salah sebuah agensi di bawah Jabatan Perdana Menteri dan diselia tadbir oleh Unit Penyelarasan Pembangunan Bumiputera Pulau Pinang (ICU) secara usaha sama dengan Syarikat GGW Mengkuang Sdn. Bhd.

Kerja-kerja tanah bagi projek perumahan ini telah bermula pada bulan Mei 2013 dan dilancarkan pada bulan Ogos tahun yang sama.

Kerajaan Persekutuan telah merialisasikan harapan rakyat dengan membina rumah kos rendah ini dan ditawarkan pada harga RM45 ribu seunit termasuk satu lot pakir kereta dan satu lot pakir motosikal.

Majlis Perasmian dan Penyerahan Kunci Program ‘Rent To Own’ Taman Desa Ara ini telah disempurnakan oleh Ahli Parlimen Tasek Gelugor merangkap Pengerusi PERDA dan PERDA Ventures Incoporated Sdn Bhd, Datuk Shabudin Yahaya.

Turut hadir, Pegawai Kemajuan Negeri Pulau Pinang, Datuk Syed Shaari Syed Abdullah dan Pengurus Besar PERDA, Rosman Hashim.