Laporan/foto: Zurina Saad (Yan)

KUALA LUMPUR, 30 Nov (UdaBayas) – Taman Rancangan Perumahan Awam (RPA) Pantai Murni dinobatkan sebagai johan bagi kategori Taman Perumahan bagi tahun 2018  pada Majlis Pengukuhan Jaringan Strategik Kementerian Komunikasi dan Multimedia, yang menghimpunkan rakan-rakan strategik Kementerian Komunikasi dan Multimedia (KKMM) yang terlibat secara langsung dalam sambutan Bulan Kebangsaan kali ini.

Pengerusi RPA, Marzuki Taha, 65, berkata ini adalah hasil muafakat dan kerjasama penduduk taman tersebut yang berusaha keras sehingga berjaya pada peringkat kebangsaan.

“Bermula dengan sekadar suka-suka menghias halaman rumah, saya menjadi inspirasi kepada jiran-jiran untuk turut serta dan kami mengambil keputusan untuk menyertai pertandingan ini,” katanya yang ditemui di Pusat Konvensyen Sime Darby, baru-baru ini.

Dalam majlis yang dihadiri Menteri KKMM Gobind Singh Deo, Taman RPA telah membawa pulang wang tunai RM5000, plak serta sijil penghargaan.