Laporan/ foto: Nur Ezzaty Ahmad Razimi, Latifah Salleh/ Al Mokhlis Abd Rahman ( Muar )

MUAR, 30 Jan (Malaysiaaktif) – Persembahan tarian ombak pelajar-pelajar pandu puteri yang menjadi identiti persatuan ini menyambut ketibaan YM Che’ Puan Khaleeda Bustamam ke Majlis Sambutan Maulidur Rasul SAW 1440H/2019M Persatuan Pandu Puteri Malaysia Cawangan Johor di Pusat Konvensyen Hab Pendidikan Tinggi Pagoh, di sini, hari ini.

Muar buat julung kalinya telah dipilih sebagai tuan rumah sambutan kali ini. Bersesuaian dengan objektif sambutan Maulidur Rasul, sambutan mencetuskan rasa kesedaran agar sentiasa berusaha menyemarakkan rasa cinta kepada junjungan besar Nabi Muhammad SAW selain melahirkan sifat berkasih sayang antara ahli Pandu Puteri dan merapatkan hubungan dalam kalangan ahli serta pemimpin Pandu Puteri agar saling menghormati dan bersatu padu dalam apa jua keadaan.

Menyantuni ummah membawah rahmat diangkat sebagai tema 1439H/2019M dapat dilihat melalui sambutan Maulidur Rasul SAW ini di mana menyaksikan kehadiran seramai hampir 1,000 orang pelajar pandu puteri terdiri daripada pelajar-pelajar sekolah rendah dan menengah yang berusia lingkungan 10 hingga 17 tahun daripada 10 buah daerah di seluruh negeri Johor.

“Budaya menjaga kebersihan adalah amat dituntut dalam islam. Menjaga kebersihan adalah satu amalan yang amat penting dalam kehidupan, ia merangkumi kebersihan diri, keluarga, tempat tinggal, tempat ibadah, tempat awam dan sebagainya. Bagi menjaga kebersihan diri bukan setakat menjaga kebersihan luaran akan tetapi merangkumi kebersihan hati. Menjaga kebersihan hati adalah dengan menjauhkan diri daripada sifat-sifat yang negatif seperti hasad dengki, sombong, bangga diri, riak dan seumpamanya. Lebih- lebih pada masa kini ramai generasi muda senang menyalahguna media sosial.

YM Che’ Puan Khaleeda bergambar bersama AJK Persatuan Pandu Puteri Negeri Johor

Justeru, melalui penjagaan kebersihan hati akan lahirlah insan berakhlak mulia dan terpuji. Selain itu, menjaga kebersihan juga akan membentuk otak yang cergas dan badan yang sihat secara tidak langsung akan membentuk karakter pelajar yang berdisplin”.

Dalam titah ucapan YM Che’ Puan Khaleeda menitikberatkan isu kebersihan yang mana agama Islam amat menggalakkan supaya semua umat menjaga kebersihan diri, kebersihan hati dan kebersihan alam sekitar bertepatan dengan apa yang dituntut dalam agama Islam.

Menurut salah seorang pemimpin Persatuan Pandu Puteri, Norsafura Shamsuri,35, daripada Sekolah Kebangsaan Convent Muar, sambutan pada tahun ini terdapat kelainan berbanding tahun sebelumnya menerusi pertandingan yang diadakan antaranya pertandingan nasyid, pertandingan bercerita dan tulisan khat yang mendapat sambutan amat memberangsangkan daripada semua sekolah yang terlibat di seluruh Johor.

Selain itu, menarik perhatian ramai adalah titah ucapan daripada YM  Che’ Puan Khaleeda Bustamam dalam menyarankan semua umat Islam mementingkan kebersihan diri secara luaran dan dalaman. Ceramah Maulidur Rasul selama hampir satu jam yang telah disampaikan oleh Kadi Daerah Muar juga turut dilihat menarik apabila disampaikan secara lebih terbuka tetapi padat dengan nasihat kepada semua lapisan umur.

Hadir sama, Pegawai Daerah Muar, Mohd Hafiz Ahmad, Yang Dipertua Pandu Puteri Daerah Muar, Norita Zaini, Ketua Pesuruhjaya Persatuan Pandu Puteri Negeri Johor, Saadiah Ari dan Kadi Daerah Muar, Mohd Taufik Shamsudin.

EM