Laporan/foto: Shafiq Saad/Syafiq Razi (Padang Terap)

KUALA NERANG, 4 Jan (UdaBayas) – Kolej Komuniti Padang Terap yang diketuai oleh Pengarahnya, Khoodzirah Ahmad telah turun padang bersama-sama Jabatan Penerangan menemui masyarakat daerah Padang Terap melalui program sembang warung yang diadakan di Simpang Tiga, di sini semalam.

Program ini bertujuan menyebarluaskan info berkaitan isu-isu semasa dan peluang belajar melalui kursus-kursus yang disediakan oleh Kolej Komuniti kepada para pelajar lepasan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) yang tidak mampu untuk melangkahkan kaki ke universiti awam.

Menurut Khoodzirah Ahmad, syarat kemasukan ke Kolej Komuniti sangat mudah dan pendaftaran yuran juga cukup murah iaitu RM 200.00 sahaja.

“Kolej Komuniti juga menawarkan kursus-kursus jangka pendek pelbagai bidang kemahiran kepada masyarakat yang berminat untuk belajar, malah yuran yang dikenakan juga terlalu murah iaitu antara RM5.00 hingga RM50.00 sahaja,” ujarnya ketika ditemui di Warung Ayam Kampung, di sini.

Seorang pengunjung yang ditemui Mansor Mahmud, 52, meluahkan rasa amat berpuas hati dengan langkah yang diambil oleh Pejabat Penerangan dan Kolej Komuniti yang sanggup turun padang untuk berkongsi maklumat dengan masyarakat di sini.

“Program yang dianjurkan ini mendapat sambutan yang menggalakkan kerana banyak maklumat yang disalurkan untuk kebaikan semua,” katanya.