Laporan/foto: Norulhuda Mohd (Kota Setar)

ALOR SETAR, 28 Okt (UdaBayas) – Festival AOR merupakan program yang diusahakan oleh sekumpulan anak muda Kedah bagi memberi peluang kepada golongan muda membawa hasil seni dan perniagaan hasil seni tempatan untuk diketengahkan kepada orang ramai.

Festival yang belangsung pada 25 hingga 27 Oktober bertempat di Balai Seni, Alor Setar meriah dengan kunjungan orang ramai yang hadir serta padat dengan pelbagai acara yang telah disusun atur antaranya seperti AOR Talk, AOR Music 3.0, Creative Market, Pertandingan Foodzilla Wall Art, Woodcut Workshop dan banyak lagi.

Mukhriz (bertopi) turut melawat tapak festival dan beramah mesra dengan pengunjung dan pempamer yang mengambil bahagian.

Festival ini juga merupakan medium kepada anak muda yang berjiwa seni untuk berkongsi hasil seni mereka kepada umum dan mengetengahkan bakat seni mereka dalam pelbagai hasil seni.

Dalam pada itu, Menteri Besar Kedah, Mukhriz Mahathir ketika ditemui berkata, beliau sangat kagum dengan hasil seni yang dihasilkan oleh anak muda Kedah yang dilihat sangat kreatif.

“Mereka bukan sahaja berbakat besar malah hasil bakat dan kerja seni mereka mampu menjana pendapatan yang lumayan,” katanya yang ditemui semalam.

Mukhriz juga sempat meluangkan masa pada sesi AOR Talk bersama wakil anak muda Kedah dan melawat ke khemah-khemah pameran hasil seni dan jualan hasil seni.