Laporan dan Foto : Nur A A

Arau, 16 April (UdaBayas) – Program Sepakat Komuniti 1Malaysia Peringkat Negeri Perlis telah dijalankan bermula pada 13 Mei hingga 15 April 2018. Program ini telah dijalankan bertempat di Padang Awam Simpang Sanglang, Perlis.

    

Program ini merupakan satu program kemasyarakatan iaitu bagi memupuk perpaduan di kalangan masyarakat. Sepanjang program ini, pelbagai acara sukan rakyat telah dipertandingkan mengikut kategori. Terdapat juga sebanyak 14 gerai yang berniaga mewakili 10 K1M turut mengambil bahagian.

Antara gerai jualan yang menarik perhatian orang ramai ialah Gerai Komuniti 1Malaysia (K1M) Felda Rimba Mas yang mana produk yang dijual ialah produk keluaran bumiputera iaitu DD Mas Kopi.

Menurut Naim, 39, anak kepada pengasas DD Mas Kopi, “Keistimewaan kopi kami dari produk kopi bumiputera lain ialah produk kami menggunakan campuran dari garam buluh. Ramai orang tidak tahu sebenarnya garam buluh ini mempunyai khasiatnya tersendiri. Antara khasiat garam buluh ialah meningkatkan daya pertahanan badan,  mengelak masalah penghadaman seperti perut dan usus, mengelakkan penyakit kronik seperti masalah jantung, tekanan darah tinggi, kencing manis atau masalah buah pinggang”.

“Minuman kopi ini dijual dengan harga RM28 sekotak. Buat masa ini,  sambutan yang diterima adalah baik. Selain daripada kopi,  kami juga turut menghasilkan produk lain seperti kerepek pisang, minyak angin,  pekasam dan baja cacing”, tambahnya,

Acara sukaneka pula menyaksikan,  sebanyak 42 acara dipertandingkan mengikut kategori. Antara acara sukaneka yang dipertandingkan ialah boling padang, tuju tin, makin jauh makin sayang, lari ikat kaki,  jalan atas bata dan banyak lagi. Pertandingan tulisan jawi juga turut diadakan bagi kanak-kanak.

Shahirah, 30, dari K1M Simpang Sanglang berkata, “Saya masuk bertanding dalam acara  iaitu boling padang. Saya seronok dan teruja dengan permainan yang diadakan. Tambahan pula,  aktiviti ini bersifat ringan dan secara santai. Saya juga turut berkenalan dengan peserta K1M lain-lain yang datang sini untuk memeriahkan suasana”.

Sebanyak 41 Komuniti 1Malaysia hadir bagi memeriahkan Program Komuniti 1 Malaysia ini. Acara cabutan bertuah juga turut diberikan kepada para pengunjung.