Laporan/foto: Md Khairul Azad Yunus

LABUAN, 9 Jan (UdaBayas) – Unit Hal Ehwal Murid (HEM) Sekolah Kebangsaan Lubok Temiang (SKLT) berkongsi maklumat berkaitan pengurusan sekolah menerusi Program Sentuhan Kasih Bersama Ibu Bapa Murid Tahun 1 di dewan sekolah itu, baru-baru ini.

Menurut Guru Besar, Awat Cally Moguring, program itu bertujuan untuk berkongsi pengetahuan pengurusan sekolah dari aspek kurikulum, kesihatan, pergigian, baitumal dan J-QAF bersama ibu bapa murid Tahun Satu yang baharu memasuki sekolah tersebut pada tahun ini.

“Pihak Sekolah berharap semua ibu bapa murid tahun satu dapat memahami pengurusan sekolah untuk kebaikan anak-anak dan menjadi panduan dalam membantu sekolah yang berperanan memberi pendidikan kepada anak-anak mereka pada peringkat awal lagi.

“Di samping itu, ibu bapa perlu bersedia menghulurkan apa juga bantuan kepada guru dan sekolah bagi membantu melancarkan proses kemenjadian murid.

Awat (kiri) menyampaikan sijil penghargaan kepada Dr Ng Boon Seng.

“Sebarang kemusykilan haruslah dibincangkan secara berhemah dan mengikut saluran yang betul bagi memelihara hubungan dan keharmonian antara ibu bapa, guru dan pentadbir sekolah,” katanya.

Pada program itu, tiga orang doktor daripada Jabatan Kesihatan Labuan iaitu Pakar Perubatan Psikiatrik Hospital Labuan, Dr. Ng Boon Seng, Pegawai Perubatan, Dr. Tengku Intan Najwa Tengku Azmi dan Pegawai Pergigian, Dr. Aisyah Mohamad Sopi menyampaikan ceramah masing-masing kepada 92 murid Tahun satu bersama ibu bapa mereka.

Dr. Ng Boon Seng menyampaikan taklimat tentang cara ibu bapa membantu anak-anak dalam pendidikan di rumah dan cara pengesanan awal masalah anak-anak.

Manakala Dr. Tengku Intan Najwa Tengku Azmi daripada Pasukan Kesihatan Sekolah memberi taklimat tentang buku kesihatan sekolah dan prosedur pelaksanaan pemeriksaan kesihatan murid-murid di sekolah.

Sunah Tahir (kiri) menyampaikan sijil.penghargaan kepada Dr Aishah Mohamad Sopi.

Sementara itu taklimat tentang pemeriksaan dan penjagaan gigi disampaikan oleh Dr, Aishah Mohamad Sopi.

Program turut dihadiri Penolong Kanan 1, Cikgu Roslan Mohamad, PK HEM, Cikgu Sunah Tahir dan PK Kokurikulum, Cikgu Joe Helmy Jumat serta Penyelaras Program, Rohaimee Samsu.

EM