Laporan: Asmidar Z. / Foto:  Johny G.

KOTA KINABALU, 9 Nov (Malaysiaaktif) – Seramai 135 peserta menghadiri Persidangan Antarabangsa Transformasi Sosial, Komuniti dan Pembangunan Mampan (STCSD) 2017 buat julung kalinya bermula 7 hingga 9 November.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Abdul Rahman Dahlan berkata​, penganjuran persidangan berkenaa​n ​secara tidak langsung dapat memberi manfaat kepada rakyat.

“Persidangan ini menggalakkan cetusan idea supaya kita dapat memahami dengan lebih baik ​bentuk-bentuk transformasi sosial yang benar-benar bermakna di samping memberi kesejahteraan dan manfaat kepada rakyat.

Ismail (kiri) menyampaikan cenderahati kepada Abdul Rahman (dua dari kiri) sambil disaksikan oleh Mohd Hussein (dua dari kanan) dan Rosazman (kanan).

“Persidangan ini juga dapat menjadi ruang kepada pertukaran idea d​alam kalangan para ulama dan pembuat dasar berhubung dengan transformasi sosial, masyarakat dan pembangunan mampan bukan sahaja di Malaysia, tetapi juga di Wilayah Asia Tenggara.

“Dengan kehadiran penceramah dan ​pembentang kertas kerja dari Filipina, Indonesia dan Malaysia,saya yakin kita akan dapat memahami dengan lebih baik tentang perbezaan dan persamaan antara Malaysia dan negara Asia Tenggara lain,” katanya semasa merasmikan persidangan berkenaan di sini​, ​pada Rabu.

​Rahman turut berharap melalui persidangan tersebut setiap negara akan mecapai sepakat untuk bergerak maju dengan model kerjasama dan integrasi yang lebih baik tidak mengira bangsa, suku, bangsa atau agama.

Selain Malaysia, persidangan anjuran bersama Universiti Malaysia Sabah (UMS), Universiti Sultan Zainal Abidin (UNISZA), Terengganu dan The Imus Institute of Science and Technology, Filipina ​itu juga disertai Indonesia, Brunei dan Filipina.