Laporan/foto: M Zakry Chan (Melaka)

MASJID TANAH, 29 Apr (Udabayas) – Program Sukan Wanita dan Veteran Peringkat Negeri Melaka yang diadakan semalam dapat menarik ramai peserta dari pelbagai peringkat umur.

Exco Komunikasi, Multimedia, NGO, Pembangunan Belia dan Sukan Melaka, Kerk Chee Yee ketika merasmikan program tersebut berkata kerajaan sentiasa mengambil berat berkaitan penjagaan kesihatan rakyat terutama golongan wanita dan veteran.

“Dengan penganjuran program ini, kita dapat membudayakan amalan hidup aktif dan sihat dalam msyarakat, di samping dapat merapatkan hubungan silaturahim, kerjasama dan integrasi antara kaum melalui aktiviti bersenam,” ujar Kerk.

Menurut salah seorang peserta, Mahadi Limin,75, kesihatan diusia emas ini adalah nikmat yang tidak ternilai, pelbagai aktiviti mampu dilakukan seharian tanpa rasa risau.

Mahadi sentiasa mengamalkan gaya hidup aktif walaupun telah menjangkau umur 75 tahun.

“Saya akan bersenam dengan berlari atau ’jogging’ setiap hujung minggu selama 2 jam di Taman Rekreasi Durian Daun untuk meningkatkan stamina dan kekuatan jantung.

“Dari segi pemakanan, saya akan elakkan minum minuman campuran 3 dalam 1 yang banyak mengandungi gula dan bahan-bahan campuran yang tidak baik untuk kesihatan disamping minuman berkarbonat. Minuman terbaik adalah air suam yang mampu memastikan badan sentiasa segar dan dapat menahan kesejukan,” kata Mahadi yang merupakan bekas tentera.

Antara aktiviti yang dijalankan adalah Family Fun Walk, Aerobic Zumba Health Talk, Permainan Rakyat, Penalty Shoot Out, Pertandingan Dam Aji dan aktiviti pemimpin bersama rakyat.

Turut hadir, Ahli Parlimen Masjid Tanah, Mas Ermieyati Samsudin, Ahli Parlimen Tangga Batu, Rusnah Aluai dan Pengarah Belia dan Sukan Negeri Melaka, Marina Nafi.

 

-KN