Laporan/foto: Norulhuda Mohd (Kota Setar)

ALOR SETAR, 29 Okt (UdaBayas) – Sultan Kedah Sultan Sallehuddin Sultan Badlishah dan Sultanah Kedah Sultanah Maliha Almarhum Tengku Ariff berkenan mencemar duli menyempurnakan Pesta Rakyat sempena Istiadat Pertabalan Tuanku Sultan Kedah ke-29 di Taman Jubli Emas, di sini semalam.

Kira-kira 3000 orang membanjiri pesta tersebut seawal pukul 8.00 malam untuk menyaksikan pelbagai acara kebudayan negeri Kedah khususnya seperti persembahan Mek Mulung, aksi pendekar Kedah, pertunjukan wayang kulit, persembahan artis jemputan, persembahan kebudayaan pelbagai kaum dan acara persembahan bunga api berirama.

Mukhriz (kiri) sempat berseloroh dengan Tuanku Sultan (kanan) ketika majlis berlangsung.

Rata-rata pengunjung yang hadir begitu teruja untuk menyaksikan pelbagai acara sempena pesta ini kerana rakyat negeri ini berpeluang meraikannya bersempena Istiadat Pertabalan Sultan Kedah ke-29 iaitu selepas 59 tahun yang lalu.

Kemuncak acara yang dinantikan oleh semua yang hadir adalah acara persembahan bunga api berirama yang sangat jarang dipertontonkan jika tiada sebarang acara-acara kebesaran negeri.

Turut hadir, Raja Muda Kedah Tengku Sarafudin Badlishah, Raja Puan Muda Kedah Zaheeda Mohamad Ariff, Menteri Besar Kedah, Datuk Seri Mukhriz Mahathir dan barisan Exco Negeri Kedah.