Oleh : Ariza M. Z.

KEPALA BATAS, 6 Jan (UdaBayas) – Walaupun sekolah telah dibuka satu minggu, namun kanak-kanak cukup gembira apabila menerima sumbangan set baju sekolah lengkap daripada Kelab Putera 1Malaysia yang diketuai oleh Datuk Seri Panglima Abdul Azeez Abdul Rahim yang juga merupakan Ahli Parlimen Baling.

Sumbangan telah diberikan kepada kanak-kanak sekolah rendah dari darjah satu hingga darjah enam yang terdiri daripada 539 pelajar lelaki dan 465 pelajar perempuan.

Datuk Seri Panglima Abdul Azeez dalam ucapannya menyatakan kerajaan Malaysia merupakan kerajaan yang terbaik di dunia sehinggakan kerajaan negara Arab ingin mempelajari cara Malaysia mentadbir urusan negara.

Program yang diadakan di Institut Latihan Perindustrian Kepala Batas, semalam ini dihadiri lebih 3,000 orang sehingga menyebabkan dewan utama sesak.

Dalam pada itu, Ahli Parlimen Kepala Batas, Datuk Sri Reezal Merican Naina Merican dalam ucapannya berterima kasih kepada semua yang hadir dan menyatakan rasa syukur kepada Allah kerana Kepala Batas sentiasa mendapat perhatian daripada Perdana Menteri Malaysia untuk menyalurkan bantuan atau sumbangan kepada penduduk di Parlimen Kepala Batas ini.